Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Ungkapan Kata Kesat Terhadap Isteri


Soalan:

Jika kita berselisih dengan faham dengan isteri dan keadaan marah kita melepaskan kata kesat. Kemarahan suami adalah disebabkan sikap isteri terhadap keluarga suami di mana layanan yang diberi tidak sepatutnya. Apakah tindakan yang perlu diambil dan wajarkah kita berkata demikian untuk menyedarkan sikap siisteri tadi?

Zahir, Semenyih

Jawapan:
Suami menjadi pemimpin dalam rumahtangga harus berusaha membangun rumahtangga atas dasar ketaqwaan dan keredhaan Allah SWT. Berpedoman kepada Al Quran dan sunnah dalam menjalani aktiviti kehidupan berumahtangga. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Takutlah kepada Allah di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat dan mengerjakan agama, maka dia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Jadi menjadi tanggungjawab suami untuk mendidik pengetahuan agama terhadap isterinya sehingga akhlah dan keperibadian isteri menggambarkan sebagai wanita solehah. Jika asas agama ini telah diberikan oleh suami, maka tidak akan timbul isteri tidak melayani ayah atau ibu mertuanya dengan layanan yang tidak sepatutnya.

Di dalam memberikan bimbingan terhadap isteri gunakanlah pendekatan agama dan psikologi, berikan pengertian kepadanya bahawa keluarga suami juga termasuk keluarga isteri yang perlu dihargai dan dilayan secara lebih baik. Sebaliknya suami janganlah menggunakan kata-kata yang kesat terhadap isteri, kemungkinan apa yang ia lakukan tersebut tidak sengaja ataupun ia tidak faham bagaimana sebetulnya yang anda inginkan. Sesungguhnya isteri kita adalah teman hidup kita yang memiliki kekurangan dan kelebihan. Selayaknyalah suami menasihati dengan baik jika isteri memiliki sifat kekurangan yang perlu dibetulkan. Hindarilah dari mencaci ataupun menggunakan kata-kata yang kesat, agar tidak mengeruhkan lagi hubungan yang sedia ada. Wallahu A’lam.

Leave a Reply