Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Punca Kebengkakan Ovari

SOALAN: SAYA sudah berkahwin selama enam tahun tetapi sehingga kini belum dikurniakan zuriat. Tahun lalu, saya disahkan mengalami bengkak di bahagian sebelah kiri ovari. Saya mengamalkan makan alovera, Alhamdulilah bengkak itu tiada lagi (selepas membuat pemeriksaan di klinik).

Tetapi pada Mei lalu masalah ini berulang lagi tetapi di bahagian kanan pula. Di sini saya ada beberapa soalan:

1. Apakah yang menyebabkan kebengkakan ovari?
2. Adakah ia menjadi salah satu punca kanser ovari atau penyakit lain?
3. Apakah rawatan yang perlu dilakukan sekiranya perkara ini berlaku lagi?

ZUE,
Melalui e-mel

BAGAIMANA bengkak di bahagian ovari itu dikesan? Adakah puan merasai sakit atau pergi untuk pemeriksaan lain dan secara kebetulan, ia telah dikesan? Pernahkah puan merasai apa-apa masalah dari belah ovari yang dikatakan bengkak itu?

Folikel yang mula berkembang pada permulaan kitaran (1). Apabila membesar, ia akan berisi cecair yang dikeluarkan oleh sel-sel didalamnya (2,3). Jika matang, bahagian luar akan pecah dan mengeluarkan telur serta kandungan yang lain didalamnya (4). Telur ini akan dikutip oleh tiub Fallopia yang berada di sebelah ovari. Ruang yang kosong itu bertukar menjadi bentuk lain, dipanggil korpus luteum yang akan surut di akhir kitaran haid itu (5-7).

Dalam tiap-tiap kitaran haid yang normal, sebelah ovari akan membentuk telur yang akan dikeluarkan pada pertengahan kitaran haid itu. Telur ini berada dalam bentuk yang dipanggil folikel yang terdiri daripada selaput sel-sel yang mengeluarkan cecair.

Kadang-kadang ia boleh membesar sehingga lebih kurang lima cm, seperti saiz satu biji bola golf, tetapi apabila sudah keluar dari folikel ini, ia akan hilang kerana bertukar bentuk. Ia tidak akan menyebabkan apa-apa sakit dan apabila ujian ultrasound susulan dilakukan, ia tidak dikesan lagi. Itulah sebabnya dalam kes puan, ia dikesan di sebelah kiri kemudian yang kali kedua terdapat di belah kanan. Inilah punca yang paling biasa apabila didapati ada bengkak di dalam ovari yang selalunya di panggil ‘cyst’ di ovari. Jenis ini tidak menyebabkan kanser.

Ada dua jenis ‘cyst’ di ovari yang berpenyakit – yang bukan kanser dan yang ada kanser. Kedua-dua jenis ini pula boleh dibahagikan lagi kepada jenis-jenis lain bergantung kepada bahagian mana ia tumbuh didalam ovari. Punca kedua-duanya masih belum diketahui.

Jenis yang bukan kanser berlaku dalam wanita golongan muda, antara 18-35 tahun. Ia ada banyak jenis. Mungkin yang paling biasa didengar ialah endometriosis, tetapi ada lagi yang lain jenisnya seperti dermoid, cystadenoma dan lain-lain. Masalah yang dihadapi bergantung kepada saiz dan kedudukannya.

Oleh kerana sifatnya yang boleh berubah-ubah, ia dapat membesar tanpa memberi apa-apa kesan. Mungkin seseorang itu mengalami rasa senak, angin, kembung di bahagian bawah perut. Sesetengahnya pula tak rasa sakit di perut, tetapi sakit di belakang, kerana ovari yang membesar itu menekan otot-otot tulang belakang. Kerana inilah penyakit ovari lambat dikesan. Bila sudah nampak bengkak barulah seseorang berjumpa doktor, dan pada masa itu, saiznya besar, ada yang boleh sebesar sebiji buah kelapa atau lebih besar dari itu.

Kanser di ovari berupa begini juga, tetapi kerana sel-sel kanser lebih agresif, ia menyebabkan masalah lain. Yang paling kerap berlaku ialah pengumpulan cecair di dalam abdomen sehingga ia boleh memenuhi seluruh abdomen. Perut akan kelihatan buncit dan berat. Selain itu, ia akan menyebabkan sakit, sesak nafas, kurang selera makan, turun berat badan, demam yang tidak dapat dikesan puncanya dan lain-lain simptom yang tidak ada kena-mengena dengan ovari.

Oleh itu, pesakit akan berjumpa dengan lain-lain doktor dulu sebelum pergi ke pakar sakit puan.

Jika didapati ada ‘cyst’ di ovari, mula-mula sekali, jangan panik. 90 peratus daripadanya adalah jenis yang bukan kanser. Jika saiznya kurang dari 5 cm, tidak menyebabkan sakit atau apa-apa masalah sebelumnya, langkah yang perlu diambil ialah untuk menunggu lebih kurang dua bulan. Sebelum itu disyorkan untuk mengambil ujian darah untuk mengesan paras beberapa jenis bahan yang dipanggil ‘tumour markers’. Ini adalah bahan yang didapati tinggi (tetapi bukan 100 peratus pasti) jika ada kanser, dan ia juga ada berpuluh-puluh jenis. Yang selalu berkaitan dengan ovari dipanggil CA 125. Jika ianya normal, kemungkinan besar cyst itu bukan jenis kanser.

Pembedahan disyorkan jika ‘cyst’ itu masih kelihatan di sebelah yang sama selepas dua bulan atau lebih, jika saiznya terlalu besar atau saiznya lebih besar daripada yang terdahulu dan apabila sudah rasa sakit. Cara untuk betul-betul memastikan cyst itu bukan kanser ialah dengan mengeluarkannya melalui pembedahan dan seterusnya dibuat pemeriksaan dibawah mikrosop untuk mengkaji jenis selnya.

Google Tag Search Result: