Home Tag Pos ditag dengan "Jenis-jenis pil perancang"

Jenis-jenis pil perancang

3 3439

pil-perancang

SOALAN

SAYA berusia 38 tahun dan ibu lima anak berusia 8 hingga 16 tahun. Berat saya pula 64 kilogram dan tinggi 164 sentimeter. Saya mengamalkan pil perancang ‘regividon’ selama lapan tahun yang dibeli di farmasi. Masalahnya, sejak dua tahun kebelakangan ini, haid saya sangat sedikit, ada kalanya hanya sehari saja. Walaupun kitaran haid saya tepat pada masanya tetapi jumlahnya yang sedikit itu membimbangkan. Apa harus saya lakukan?

ROZI


JAWAPAN

UNTUK pengetahuan puan, sememangnya semua pil perancang keluarga seperti Regividon boleh menyebabkan haid menjadi pendek, sedikit dan lama kelamaan haid boleh berhenti. Ini disebabkan pil hormon ini menghalang ovari daripada aktif terutama bagi tujuan ovulasi.

Setiap bulan ovulasi perlu terjadi untuk haid yang normal iaitu lima hingga tujuh hari, jumlahnya 30 mililiter setiap haid dan ia berlaku setiap 28 hari. Apabila ovulasi terhalang, menyebabkan dinding rahim/emdometrium menjadi nipis.

Lagi lama seseorang itu mengambil pil berkenaan, maka semakin nipis dinding itu yang menyebabkan haid boleh terus terhenti. Haid yang berlaku ketika pengambilan pil perancang keluarga adalah kerana hormon estrogen dan ‘levonorgestril’ yang ada di dalam pil itu.

Puan tidak perlu risaukan jumlah yang sedikit ini kerana ia bukannya penyakit dan akan kembali normal selepas puan berhenti mengambil pil hormon berkenaan. Tetapi ia mengambil masa yang lama untuk ovari kembali pulih seperti biasa.

Selain itu, perlu saya ingatkan puan bahawa pengambilan pil perancang keluarga tanpa pemantauan doktor adalah tidak digalakkan kerana ia dikaitkan dengan peningkatan kecil kanser pintu rahim dan payu dara.

Oleh kerana itu saya sarankan puan melakukan saringan ujian lumuran pap untuk kanser pintu rahim dan mamogram untuk kanser payudara. Ada juga kebaikannya apabila mengambil pil ini iaitu ia boleh mencegah kanser ovari dan rahim.

Ada beberapa pilihan yang boleh puan pertimbangkan bagi masalah ini.

Pertama, puan boleh meneruskan pengambilan pil ini dan mengalami haid seperti sedia ada kerana ia perkara yang berlaku tetapi ini adalah normal. Puan mesti selalu berjumpa doktor untuk ujian lumuran pap dan mamogram.

Kedua, puan berhenti mengambil pil perancang ini dan menggunakan kaedah perancang lain tanpa hormon seperti alat dalam rahim.

Alternatif lain adalah saluran peranakan. Saya rasa puan tidak ada keinginan untuk mengandung lagi kerana usia puan. Kaedah lain seperti suntikan hormon Depoprovera, implan Implanon juga boleh menyebabkan haid puan bertambah teruk.

 

Sumber: BHarian Online

Google Tag Search Result: