Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Susu Formula Yang Sesuai Dengan Bayi Anda

Botol Susu

Susu ibu ialah makanan semula jadi bayi yang sempurna. Tetapi jika anda tidak dapat menyusu badan, atau jika anda memilih untuk tidak melakukannya, susu formula ialah yang kedua terbaik. Ahli sains dan pakar perubatan telah menghabiskan masa bertahun-tahun mencipta susu formula yang dapat membekalkan nutrisi yang diperlukan oleh bayi anda.

Apabila anda sedang menimbangkan susu formula mana yang sesuai untuk bayi anda, anda perlu mengambil kira beberapa faktor. Fikirkan mengenai kesihatan dan keperluan pemakanannya, umur, serta kos dan masa penyediaan bagi setiap susu formula. Panduan susu formula kami akan membantu anda memilih jenis formula yang sesuai untuk bayi anda.

Apakah jenis-jenis susu formula yang ada di pasaran?

Terdapat tiga jenis formula:

  • formula berasaskan susu lembu
  • formula protein dihidrolisis
  • formula berasaskan soya

Kemungkin besar bayi anda boleh mengambil susu formula berasaskan susu lembu, kecuali jika terdapat sebarang masalah kesihatan atau sebab-sebab pemakanan mengapa dia tidak boleh. Baca lebih lanjut untuk mengetahui tentang jenis-jenis susu formula ini.

Susu formula berasaskan susu lembu
Kebanyakan susu formula bayi adalah berasaskan susu lembu yang diubah suai untuk menyamai susu ibu sebaik yang mungkin. Para pengilang mengubah suai susu lembu untuk bayi dengan menyesuaikan tahap karbohidrat, protein dan lemak, serta menambah vitamin danmineral. Terdapat juga jenis formula yang dihasilkan khas untuk bayi pramatang.

Protein dalam susu boleh diuraikan kepada kasein dan whey. Nisbah kasein dan whey boleh jadi berbeza bergantung kepada jenis susu formula bayi. Terdapat dua jenis:

  • Formula peringkat pertama. Kandungan susu jenis ini kebanyakannya adalah whey, dengan nisbah kasein:whey sebanyak 40:60, iaitu hampir sama dengan kandungan susu ibu. Susu ini seuai untuk bayi anda daripada baru lahir hingga kira-kira setahun, dan ia juga dikatakan lebih mudah untuk dihadam.
  • Formula peringkat kedua. Susu jenis ini mengandungi kebanyakannya kasein, dengan nisbah kasein:whey sebanyak 80:20. Ia mengambil masa yang lebih untuk dihadam dan biasanya dipromosikan sebagai susu untuk bayi yang kerap lapar.

Dari segi khasiat, bayi anda hanya perlukan formula peringkat pertama, namun anda mungkin boleh memilih untuk bertukar mepada formula peringkat kedua apabila bayi anda sudah besar sedikit.

Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati apabila menukar susu bayi anda. Jika anda beralih daripada susu peringkat pertama kepada susu peringkat kedua terlalu awal, bayi anda boleh mengalami sembelit. Walaupun banyak pengilang susu memasarkan susu peringkat kedua mereka sebagai sesuai mulai baru lahir, adalah lebih baik jika anda tunggu sehingga bayi anda sekurang-kurangnya empat minggu. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dengan susu formulanya yang pertama, bincanglah dengan pakar kanak-kanak sebelum anda menukar formula.

Apabila bayi anda berusia satu tahun, anda boleh beralih daripada formula peringkat pertama atau peringkat kedua kepada susu lembu. Susu lembu tidak disyorkan sebagai minuman utama bayi di bawah umur setahun kerana kandungan zat besi dan vitamin C yang rendah. Tetapi anda boleh gunakannya dalam jumlah yang kecil sebagai bahan masakan untuk bayi anda apabila dia mula mengambil makanan pejal, atau untuk diberi bersama bijirin sarapannya.

Formula protein dihidrolisis
Ini adalah susu formula yang direka khas untuk bayi yang mempunyai alahan atau intoleransi terhadap susu lembu. Jika bayi anda alah terhadap susu lembu, protein dalam susu akan menyebabkan reaksi alahan. dan jika dia mempunyai intoleransi terhadap susu lembu, sukar baginya untuk menghadam laktosa, atau gula, yang terkandung dalam susu lembu.

Susu formula protein dihidrolisi adalah berasaskan susu lembu dan mempunyai nilai nutrisi yang sama dengan susu formula. Tetapi bezanya ialah protein dalam susu ini telah dihidrolisis, yang bermakna ia telah diuraikan supaya bayi anda kurang berkemungkinan untuk mendapat reaksi daripadanya. Susu seperti ni juga secara amnya bebas-laktosa, oleh itu bayi yang mempunyai intoleransi terhadap susu lembu boleh menghadamnya dengan mudah.

Jika anda rasa bayi anda mempunyai alahan atau intoleransi terhadap susu lembu, jumpalah doktor keluarga atau pakar kanak-kanak. Doktor anda dapat mempreskripsikan formula protein dihidrolisis untuk bayi anda. Anda juga boleh membeli sus ini daripada farmasi. Selain itu, anda juga boleh membeli formula bebas-laktosa khas yang mungkin disyorkan oleh doktor anda jika bayi anda mempunyai intoleransi terhadap laktosa.

Formula berasaskan soya
Formula berasaskan soya diperbuat daripada kacang soya. Ia diubah-suai dengan penambahan vitamin, mineral dan nutrien untuk menjadikannya sesuai sebagai susu formula.

Beri bayi anda formula berasaskan soya hanya atas nasihat doktor keluarga anda atau pakar kanak-kanak. Walaupun pengilang-pengilang memasarkan formula soya mereka sebagai sesuai untuk bayi sejak baru lahir, pakar kesihatan profesional tidak mengesyorkannya untuk bayi di bawah enam bulan.

Formula soya juga tidak digalakkan untuk diberi kepada bayi yang mempunyai alahan terhadap susu lembu. Biasanya, bayi yang alah terhadap susu lembu juga alah terhadap soya.

Tiada bukti bahawa bertukar kepada formula berasaskan soya dapat membantu melegakan bayi jika dia tidak selesa atau mengalami kolik. Bayi anda mungkin mengalami kolik kerana dia mempunyai intoleransi terhadap laktosa, maka dalam kes ini formula yang bebas-laktosa ialah yang terbaik. Mintalah nasihat doktor jika anda fikir bayi anda mempunyai alahan atau intoleransi terhadap susu lembu.

Tiada manfaat tertentu dari segi kesihatan yang diperolehi bayi anda daripada formula soya berbanding susu formula lain. Malah, susu formula soya sebenarnya boleh merosakkan gigi bayi dalam jangka masa panjang kerana ia mengandungi sirap glukosa. Jika anda memberi bayi anda susu soya, anda perlu lebih berhati-hati dalam menjaga giginya.

Apakah jenis susu formula yang diperlukan oleh bayi yang lebih besar?

Ada formula susu lembu yang dipasarkan untuk bayi daripada usia enam bulan kerana susu jenis ini mengandungi zati besi yang tinggi yang diperlukan oleh bayi yang sedang membesar. Walau bagaimanapun, dari segi nutrisi, susu ini sebenarnya tidak perlu. Bayi anda akan mendapat zat besi dan nutrien lain yang diperlukannya daripada makanan pejal. Tiada keperluan untuk bertukar kepada susu lain jika bayi anda gembira dengan susu badan atau susu formula biasanya.

Susu yang dipasarkan untuk bayi yang lebih besar termasuk:

Susu lanjutan
Ini adalah susu yang mempunyai kandungan protein dan mineral yang lebih tinggi daripada formula bayi biasa. Ia dipasarkan sebagai sesuai bagi bayi dari usia enam bulan. Susu lanjutan diiklankan sebagai lebih berkhasiat daripada susu lembu kerana ia mengandungi zat besi, vitamin dan mineral tambahan. Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa susu lembu tidak sesuai diberi kepada bayi anda sehingga usianya satu tahun.

Susu membesar
Susu membesar dipasarkan sebagai susu yang lebih baik daripada susu lembu kerana ia mengandungi zat besi dan vitamin serta mineral tambahan. Ia dipromosikan untuk diberi kepada bayi daripada usia satu tahun.

Walau bagaimanapun, susu membesar sebenarnya tidak perlu kerana apabila bayi anda sudah mencapai umur satu tahun, dia sudah boleh mengambil susu lembu penuh lemak sebagai minuman utamanya. Dia juga sepatutunya sudah mula makan pelbagai jenis makanan yang seimbang, yang dapat membekalkannya dengan vitamin dan mineral penting tanpa perlu mengambil susu membesar.

Susu formula tambahan ini sebenarnya tidak perlu sama sekali. Bayi anda boleh mendapat apa yang diperlukannya ketika membesar dengan mengambil susu formula biasa di samping makanan yang kaya dengan kalsium dan zat besi. Kemudian, apabila dia sudah berumur setahun, anda boleh memberinya susu lembu.

Satu-satunya sebab mengapa anda mungkin menukar susu bayi anda ialah sekiranya anda membesarkannya sebagai seorang vegetarian. Apabila anda mula memberinya makanan pejal iaitu mulai usianya enam bulan, anda mungkin dapati sukar untuk mencari makanan vegetarian yang kaya dengan zat besi. Oleh itu, formula yang kaya dengan zat besi mungkin pilihan yang bagus.

Berapakah kos dan masa penyediaan bagi susu formula?

Susu formula mengambil masa untuk disediakan. Bergantung kepada kaedah pensterilan dan jenis formula yang anda gunakan, mencuci, mensteril dan membancuh sebotol susu boleh mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 minit. Oleh itu, jika anda memberi bayi anda enam botol susu sehari, anda mungkin mengambil masa sehingga empat jam sehari menyediakan susu formulanya.

Kebanyakan susu formula dijual dalam bentuk susu tepung yang dibungkus dalam tin. Cara menyediakannya ialah dengan mencampurkan beberapa sudu susu tepung kering tersebut dengan air masak yang telah disejukkan.

Harganya pula berbeza, bergantung kepada jenama, jenis dan peruncit. Harga formula berasaskan soya dan formula bebas-laktosa secara umumnya agak sama. Formula protein dihidrolisi pula biasanya mempunyai harga yang lebih tinggi.

Jika bayi anda sudah berumur setahun dan boleh minum susu lembu, anda mungkin boleh menimbangkan untuk berhenti memberinya susu formula. Susu formula lebih mahal daripada susu lembu dan anda mungkin rasa agak leceh untuk menyediakannya. Sebaliknya, susu lembu hanya perlu dituang ke dalam cawan, atau dipanaskan sedikit jika bayi anda suka meminumnya suam.

Google Tag Search Result: