33ca65af0cb290279c82e4fdf911306cacca2caf

Solekan Nikah Yang Sederhana Tetapi Menarik

MAJLIS pernikahan adalah saat paling penting dan bermakna bagi mempelai. Saat inilah si gadis menanti dengan penuh debaran lafaz keramat diucapkan pasangan sehingga sah bergelar suami isteri.

Pada hari bersejarah ini juga pastinya penampilan si gadis, daripada hujung rambut hingga kaki menjadi tumpuan.

Selain solekan, pakaian, hiasan diri, barang hantaran dan hiasan bilik pengantin tentunya menjadi perhatian saudara-mara, rakan dan tetamu bertandang.

Kesilapan dalam menghias tentunya akan mencacatkan seluruh penampilan.

Ramai pakar solekan berpendapat, solekan untuk majlis akad nikah lebih mencabar daripada solekan ketika majlis persandingan.

Ini kerana gaya solekan adalah untuk menampilkan keserian, keayuan, gaya anggun, tetapi tidak terlalu glamor.

Ini bermaksud pada majlis akad nikah, mempelai tidak memerlukan solekan yang tebal sebaliknya sederhana, nampak semula jadi, tetapi menyerlah di mata tetamu.

Menurut jurusolek profesional Sam, sebelum memilih rona alat solek, paling penting memastikan warna kulit sesuai dengan alat solek digunakan.

Kesilapan memilih warna alat solek akan terus mencacatkan keserian mempelai.

Ujarnya, fokus jurusolek biasanya adalah untuk mengekalkan keaslian dan keayuan, tampak segar dan anggun.

“Untuk menghasilkan solekan segar, pemilihan warna bedak asas sangat penting terutama mereka yang memiliki rona kulit gelap.

“Bagi mendapatkan warna yang betul, ada baiknya jika mempelai meminta dia disolekkan sebelum hari bahagia ataupun meminta pandangan jurusolek terlebih dulu,” katanya.

Selain kulit, solekan mata adalah unsur terpenting dalam solekan. Ini bermakna sama ada majlis pernikahan, persandingan atau apa saja majlis keraian yang memerlukan anda berdandan cantik, pastikan solekan mata bersesuaian atau ‘kena’ dengan penampilan.

Untuk majlis akad nikah, biasanya mempelai mengenakan pakaian polos daripada rona lembut seperti putih, krim, kelabu, perak, coklat cair, kuning susu dan merah jambu lembut.

Bersesuaian dengan tema, warna solekan juga tidak boleh terlalu garang dan terang. Biarlah semula jadi namun masih menonjolkan imej anggun dan glamor.

Menurut Sam, pemilihan warna pembayang mata sangat penting. Biasanya jurusolek masih mengekalkan gaya solekan smokey, tetapi tidak terlalu tebal dan berlebihan sebaliknya seiring dengan tema pakaian.

“Seiring dengan warna pakaian yang nampak bersih, suci, ayu dan segar begitu juga dengan warna solekan agar ia tidak berlebihan sehingga mencacatkan penampilan.

“Rona pembayang mata seperti campuran biru dan krim, perak dan coklat, ungu dan coklat adalah gabungan menarik yang boleh dioles pada mata mempelai,” kata Sam.

Selepas itu, pilih rona gincu cair seperti merah jambu lembut atau merah hati yang kemudian dipudarkan dengan pengilat bibir bagi memberikan keseimbangan antara solekan mata dan bibir.

Apapun, kemahiran membentuk tulang pipi dan bulu mata memang perlu dalam setiap solekan bagi menampakkan perubahan mempelai.

Bagi gadis bertudung, nampak manis dengan ikatan selendang dan sedikit perhiasan diri. Kemudian tampil anggun dengan bunga tangan sebagai tanda diri sudah bersedia menempuh gerbang hari bahagia.

Google Tag Search Result:

One Comment

Add a Comment