Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Soal Jawab : Isteri Ketagih Laman Sosial

SAYA sudah berkahwin dan dikurniakan empat cahaya mata. Hubungan dengan isteri bahagia hinggalah dia mula berjinak-jinak dengan laman sosial Internet, penghujung tahun lalu.

Awalnya, saya membiarkan saja kerana isteri saya suri rumah tangga dan tumpuannya hanya kepada anak, lantas tidak ramai kawan di luar.

Atas dasar simpati, saya benarkan dia bersembang di laman sosial bagi menghilangkan kebosanan. Tambahan pula, tuntutan tugas sering memaksa saya ke luar daerah.

Yang menggusarkan saya, apa yang dulunya hanya sebagai hobi bertukar kepada ‘hardcore’ sehingga anak saya mengadu ibu mereka (isteri saya) tidak lagi memasak dan menyediakan sarapan kerana menghabiskan masa di depan monitor sehingga larut malam.

Saya menegur sikapnya tapi ia mencetuskan pertengkaran, menyebabkan dia menarik muka. Malah, pertengkaran lebih hebat berlaku seminggu lalu apabila isteri saya menghubungi rakan dikenali di laman sosial.
Sehingga kini isteri melancarkan perang dingin terhadap saya. Kesannya ialah anak saya menjadi mangsa. Sukar untuk saya percaya isteri saya yang setia berubah laku sebaik mengenali laman sosial.

Sesal di hati kerana terlewat menghalang meskipun sebelum ini akhbar kerap melaporkan kesan laman sosial ini jika terlalu asyik dengannya.

Buntu saya memikirkan bagaimana mahu menegur isteri saya yang berubah laku.

SUAMI BUNTU
Cheras, Kuala Lumpur

 

Saudara sesal kerana lewat menghalang isteri daripada ketagihan berbual di laman sosial. Kesannya, saudara terpaksa berdepan sikap ‘dingin’ isteri sebaik ditegur.

Dang Setia setuju saudara bertegas dengan isteri. Tanggungjawab menegur dan
mendidik isteri terletak di bahu suami. Kegagalan saudara boleh menyebabkan kehancuran rumah tangga.

Malah, jelas isteri saudara melakukan kesalahan. Dia mengabaikan urusan menjaga rumah tangga dan pengurusan anak tidak terurus kerana leka berbual di laman web sosial.

Ini kerana terlalu kerap meluangkan masa berbual di laman sosial boleh menjerumuskan diri isteri saudara untuk ketagih berbuat demikian.

Untuk membantu, saudara perlu menasihati isteri. Mulakan dengan teguran lembut dan perbincangan dari hati ke hati. Selain itu terus tangani punca masalah saudara dan isteri.

Jika puncanya laman web sosial, alihkan perhatian isteri dengan menghilangkan peluang untuk dia berkomunikasi dengan laman sosial.

Jika pendekatan lembut gagal menyedarkannya, Islam membenarkan suami memukul isteri bagi tujuan mendidik.

Allah SWT menegaskan kedudukan lelaki dalam masyarakat dengan firman-Nya yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan, dan juga kerana lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.

“Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

“Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan
ringan yang bertujuan mengajarnya).

“Kemudian, jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (al-Nisa’: 34)

Permulaannya mungkin sukar tetapi saudara perlu terus menghalang supaya ketagihan isteri dapat diatasi segera.

Jika terus sukar, bawa dia berjumpa pakar psikologi untuk mendapat bantuan sewajarnya.

Sumber : Dang Setia http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isteriketagihlamansosial/Article/index_html

Google Tag Search Result:

Leave a Reply