Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Soal Jawab: Berpoligami, Namun Lebihkan Isteri Pertama

Masalah Poligami

Gambar Hiasan

Assalamualaikum Dr. Saya ingin perjelasan, apakah hukum jika terdetik di dalam hati seorang isteri mengatakan; ‘aku tidak halalkan serta maafkan setiap perbuatan kau (suami) dunia dan akhirat?’

Ini kerana suami bersikap tidak adil dan sering melebihkan isteri pertama dalam semua aspek, baik dari segi giliran nafkah zahir atau batin.

Suami saya juga kerap menipu saya. Contohnya, jika dia balik ke kampung bersama isteri pertama, dia mengatakan hanya pulang seorang saja sedangkan tidak.

Apakah hukumnya jika suami melebihkan isteri pertama dalam segala hal termasuk wang, perhatian dan hari giliran?

Suami juga tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Segala tanggungjawab saya yang pikul dari segi pembayaran anak dan sewa rumah.

Isteri kedua
Kuala Lumpur

Jawapan

Puan tidak menanggung sebarang dosa dengan kata-kata yang terdetik di dalam hati itu. Ini kerana detikan terjadi atas sebab tertentu seperti yang puan nyatakan iaitu anggapan bahawa selama ini suami bertindak tidak adil dalam urusan rumah tangga seperti di atas.

Mungkin selama ini puan dapat bersabar dengan tingkah laku suami yang tidak adil dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada isteri dalam sudut nafkah dan giliran.

Bagaimanapun, puan dapat menarik kata-kata itu dengan memaafkan suami. Suami juga perlu meminta maaf atas kesalahannya.

Malah, puan juga boleh memilih untuk meredai apa yang berlaku dan mengambil sikap sabar.

Islam meletakkan syarat poligami yang utama ialah melakukan keadilan. Syarat ini diletakkan kerana tabiat seorang lelaki yang biasanya alpa dalam melayan semua isterinya secara adil.

Al-Quran mengingatkan kita terutama lelaki dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap anak yatim (perempuan), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain) dua, tiga atau empat.

“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang saja atau (kahwinilah) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa, ayat 3)

Maksud keadilan di sini berkisar kepada hadiah yang diberikan dan giliran bermalam dengan isteri.

Ia hendaklah sama pada prinsipnya antara semua isteri.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu Islam masih membenarkan berlaku perubahan dan ketiadaan giliran apabila isteri terbabit membenarkannya.

Dengan kata lain, seseorang suami hendaklah berlaku adil kepada isterinya tanpa ada pilih kasih antara mereka.

Contohnya, dalam mengiringi suami ketika bermusafir, suami hendaklah mencabut undi dalam memilih antara isterinya.

Dalam kes puan di atas, suami perlu diingatkan peraturan berpoligami dalam Islam.

Suami pula perlu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan ilmu di dada dan mengamalkan sebaik mungkin.