Sakit Kronik Kanak-Kanak

MISTERI kelainan tabiat pemakanan yang dialami Muhammad Aiqqal Azman, 12, mencetuskan kebimbangan dan tanda tanya pelbagai pihak.

Mana tidaknya, dia didakwa mempunyai selera makan yang luar biasa sehingga mampu menghabiskan sehingga enam pinggan nasi sekali gus apabila lapar.

Apa yang peliknya, tubuh kanak-kanak yang mesra dipanggil Aiqqal ini semakin hari semakin melidi malah berat badannya menyusut daripada 35 kilogram (kg) kepada 20kg.

“Kalau dia kata lapar, bukan kira pinggan, satu periuk pun boleh dihabiskan seorang. Selera makannya bertambah berkali-kali ganda.

“Aiqqal bukan sahaja makan dalam kuantiti yang banyak, tetapi dia juga makan dengan kerap tanpa mengira masa dan tempat.

“Pernah juga dia bangun pukul 3 pagi semata-mata untuk makan. Dia menjadi kuat makan secara tiba-tiba tetapi apa yang peliknya, badannya semakin kurus, sampaikan tinggal kulit dan tulang sahaja,” kata ibunya, Wan Zuriati Wan Zulkifli, 37.

Lantaran keadaan anaknya yang luar biasa itu, Aiqqal dibawa ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Ampang Puteri untuk diberi rawatan.

Perut tikus

“Doktor yang merawat anak saya juga bingung dengan keadaannya. Dia disahkan tidak menghadapi masalah kesihatan dan gagal mencari punca misteri yang menimpanya.

“Apa yang lebih mengejutkan, doktor memberitahu, saiz perut Aiqqal hanya sebesar perut tikus seolah-olah dia tidak pernah makan.

“Kami sendiri hilang punca, ke mana semua makanan yang diambil selama ini?” kata bapanya, Azman Che Mohd. Salleh, 40.

Keadaan Aiqqal kini bertambah baik. Kombinasi rawatan Islam dan perubatan moden yang diterima sepanjang berada di hospital sepanjang minggu lalu mula memberi kesan positif buat anak ini.

Tubuhnya sudah berupaya untuk dimasukkan nutrien bagi membina semula zat-zat dalam tubuhnya.

Mengulas tabiat pemakanan yang dialami oleh Aiqqal, Ketua Dietetik dan Pemakanan Berkhasiat, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad menganggap ia sebagai satu kes ganjil yang perlu ditangani segera bagi mengelak timbul masalah kesihatan lain.

“Aiqqal mungkin mengalami gejala pola pemakanan sporadik iaitu makan dengan kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa.

“Dia juga mungkin mempunyai masalah organ hati yang tidak berfungsi dengan sempurna sekali gus mengganggu sistem penyerapan lemak.

“Bagaimanapun, ini semua adalah jangkaan sahaja. Masih banyak pemeriksaan dan ujian yang perlu dijalankan ke atas pesakit untuk memperoleh maklumat latar belakang yang lebih terperinci mengenai kelainan tabiat pemakanan yang dihadapi Aiqqal,” jelas Fatimah.

Iklan televisyen

Menerangkan lebih lanjut tentang pemakanan kanak-kanak normal, Fatimah menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pengambilan makanan oleh anak-anak mereka.

“Kanak-kanak berada dalam pola tumbesaran yang mana pada fasa ini mereka memerlukan makanan berkhasiat.

“Tidak dinafikan kanak-kanak mudah terdedah kepada iklan makanan di televisyen terutamanya makanan segera.

“Namun, ibu bapa perlu bertegas kerana pengambilan makanan yang tidak betul boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan anak-anak.

“Jangan terkejut jika pada hari ini kanak-kanak juga boleh mendapat penyakit orang dewasa seperti kencing manis dan darah tinggi, apatah lagi jika pengambilan makanan tidak dikawal dan jarang melakukan aktiviti fizikal,” katanya.

Taska rangsang selera

Di sebalik isu penjualan nasi lemak yang hangat diperkatakan sebagai punca pelajar obes, Fatimah berpendapat penekanan terhadap pengambilan makanan semata-mata tidak cukup untuk menjamin kanak-kanak kekal sihat.

“Kanak-kanak cenderung untuk menjadi kurus atau gemuk. Rasa lapar dan selera memang merangsang kanak-kanak untuk makan lebih, lebih-lebih lagi apabila berada dalam persekitaran yang mengamalkan makan secara beramai-ramai seperti di taska.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu kawal dan pantau pembesaran anak dengan memberi mereka makan makanan berkhasiat.

“Bagi kanak-kanak yang kurang berat badan, mereka perlu diberi makan dengan kerap dalam kuantiti yang sederhana.

“Bagi kanak-kanak yang lebih berat badan pula, mereka boleh diberi makan tiga kali sehari.

“Selain diberi makanan bernutrisi, mereka juga perlu bersenam untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

“Di sekolah, guru memainkan peranan penting untuk memberi ruang kepada pelajar bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya.

Trend global yang menunjukkan peningkatan penyakit kronik dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada pengambilan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat memang menjadi cabaran yang semakin sukar ditangani.

Ia menjadi sesuatu yang membimbangkan apabila statistik kesihatan mendedahkan kanak-kanak seawal usia sembilan tahun kini berisiko menghidap kencing manis atau diabetes jika tidak mengamalkan pemakanan seimbang. – kosmo

Google Tag Search Result:

Add a Comment