Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Rawatan Bekam Buang Toksin Dalam Badan

 Demonstrasi Bekam

Rawatan bekam pada titik untuk penyakit kronik dilakukan ke atas pesakit yang bertujuan membetulkan organ dalaman utama.

EDRI (bukan nama sebenar) baru sahaja memasuki usia 30-an. Sungguhpun begitu pemuda ini kerap mengadu sakit kepala, pening dan mengantuk pada waktu tengah hari.

Akibatnya dia tidak boleh berfikir dan hanya mahu berbaring. Sudah kerap kali dia berulang-alik ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan, namun doktor memberitahu keadaannya normal.

Tidak puas hati dengan jawapan itu, dia memberanikan diri untuk mencuba sejenis rawatan alternatif yang agak popular dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu rawatan bekam.

Pemeriksaan pengamal perubatan bekam mendapati bahagian bawah kepalanya bermasalah kerana perjalanan darah di bahagian tersebut tidak lancar.

Bekam adalah kaedah rawatan membuang toksin atau darah kotor yang merupakan punca segala penyakit dan dikeluarkan dari dalam tubuh melalui permukaan kulit dengan menggunakan alat bekam.

Tetapi masih ramai yang tidak berani mencuba rawatan berkenaan kerana beranggapan bekam adalah satu kaedah rawatan sangat ngeri dan menyakitkan apatah lagi ketika melihat titisan darah mengalir keluar daripada tubuh badan.

Lantaran itu, pengamal Pusat Pengubatan Hemeopathy Al-Jawad, Ibrahim Burhanuddin cuba memperbetulkan stigma negatif masyarakat terhadap rawatan bekam.

Menurut Ibrahim, bekam adalah kaedah perubatan alternatif terbaik untuk segala jenis penyakit dan keberkesanan kaedah ini sudah terbukti dalam Islam dan dikategorikan sebagai sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Bekam adalah rawatan terbaik kerana ia menetapkan dua titik utama yang perlu dirawat iaitu titik untuk penyakit kronik dan titik untuk penyakit tidak kronik.

“Rawatan bekam pada titik untuk penyakit kronik dilakukan ke atas pesakit yang bertujuan untuk membetulkan organ dalaman utama iaitu hati dan buah pinggang yang terganggu akibat pengumpulan toksin dalam badan,” katanya.

Beliau berkata, rawatan bekam untuk pesakit yang menghidap kencing manis, sakit jantung dan gout perlu bermula pada titik di hati dan buah pinggang.

Kata Ibrahim lagi, segala penyakit kronik yang menganggu kesihatan manusia berpunca daripada darah kotor (bertoksin) yang mengalir dalam tubuh dan apa yang membezakan antara jenis penyakit dengan penyakit yang lain adalah di bahagian tubuh yang mana toksin itu berkumpul.

“Dua organ ini perlu dipulihkan kerana kedua-duanya berfungsi untuk membersihkan tubuh daripada kotoran. Buah pinggang adalah penapis terbaik kepada darah dan jika ia dapat berfungsi dengan baik maka semua kotoran atau toksin yang terdapat dalam darah berhasil dikeluarkan melalui air kencing.

“Hati pula bertindak untuk menyerap segala jenis bahan kimia beracun daripada makanan dan pengambilan ubat-ubatan, jadi apabila hati seseorang itu gagal memainkan peranannya maka toksin beracun akan terlepas ke dalam aliran darah ,” ujarnya.

Ibrahim turut menegaskan rawatan bekam sangat berkesan kerana tidak memasukkan sebarang ubat-ubatan yang boleh menghasilkan toksin dalam tubuh badan, sebaliknya, rawatan bekam bersifat membuang toksin melalui titisan darah kotor.

“Untuk mengenal pasti darah yang keluar daripada tubuh badan itu bertoksin atau tidak adalah dengan melihat daripada warna darah, dan kepekatannya.

“Darah yang bersih dan terhindar daripada toksin adalah berwarna merah terang, dan cair manakala darah bertoksin biasanya berwarna merah kehitaman dan pekat,” katanya.

Bekam dan kencing manis

Ramai penghidap kencing manis enggan menjalani rawatan bekam kerana menyangka bekam akan melukakan bahagian tubuh dan menyebabkan luka berkenaan lambat sembuh.

Bagaimanapun, Ibrahim memberitahu ramai pesakit kencing manis yang menjalani rawatan bekam di pusat perubatannya pulih daripada penyakit itu.

“Kencing manis terjadi disebabkan wujudnya lebihan gula (toksin) dalam badan. Gula memang diperlukan tubuh tapi hanya sekadar normal jika berlebihan ianya akan bertukar menjadi toksin.

“Awalnya gula itu berada di dalam aliran darah kemudian ia akan mengalir ke seluruh tubuh dan turun ke kaki kerana prinsip darah seperti air ia pergi ke tempat rendah.

“Maka sebab itu gula (toksin) berkenaan akan menyumbat pembuluh darah di bahagian kaki sebab itu ramai pesakit kencing manis yang kritikal perlu dipotong kakinya,” katanya.

Tambah beliau, biasanya apabila pembuluh darah di bahagian kaki telah tersumbat, ia akan memberi kesan seperti pesakit mengalami rasa kebas akibat fungsi saraf di bahagian berkenaan telah terganggu.

“Sebab itu, kita patut buat bekam kerana bekam mengeluarkan darah yang bertoksin.

“Ramai pesakit kencing manis yang datang ke sini dalam keadaan kritikal dan ada doktor yang ingin memotong kakinya tetapi selepas dia menjalani rawatan ini secara konsisten masalah tersebut semakin berkurang, dan luka pada kakinya sudah mulai sembuh,” katanya.

Bekam Ruqyah pulihkan penyakit metafizik

Ramai yang tidak tahu, gangguan mahkluk halus boleh dirawat melalui kaedah bekam.

Ibrahim berkata, pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus, dan sihir boleh diubati melalui rawatan bekam.

“Pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus akan dibekam dan bacaan ruqyah akan turut dibacakan semasa rawatan.

“Insya-Allah syaitan dan iblis yang bersarang di dalam tubuh pesakit akan dikeluarkan melalui darah kotor,” katanya.

Justeru, bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan bekam atau mengikuti kursus bekam daripada perawat yang bertauliah boleh berkunjung ke Pusat Pengobatan Homeopathy Al-Jawad di Lot 819-8, Kampung Melaka, Batu 9, Selangor.

Artikel Penuh: Utusan Melayu | Gambar: Cupping Therapy