Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Petua Mendidik Anak, Perlukah Menurut Semua Kehendak Anak?

Anak yang semakin membesar berkembang mindanya. Oleh itu, setiap apa yang berlaku disekeliling mereka mempengaruhi minda mereka. Bila kita menghadapi situasi anak yang sudah pandai meminta-minta terutamanya mahu dibelikan mainan, makanan, maka kita kenalah mengambil langkah bijak mengatasinya. Anak yang sudah terbiasa dengan semua kemahuannya dituruti pasti akan mengundang kesusahan pada ibu bapa. Lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Wang dan kemewahan hanyalah elemen sampingan dalam menjayakan watak yang dikehendaki. Mungkin ada yang terlupa, insan kecil ini adalah amanah dari Yang Maha Kuasa. Disebabkan itulah mereka perlu diberi ilmu yang berkualiti serta sahsiah diri yang sejati. Antaranya suami isteri perlu praktikkan petua berikut dalam mendidik anak-anak:-

1. Gunakan Nama Atau Panggilan Yang Baik
Nama yang baik dikatakan membantu memperelok peribadi diri si anak. Biarpun dalam nada gurauan, anak tidak sepatutnya digelar ‘Si Bulat’ atau ‘Mat Kopi’ kerana fizikal yang kurang disenangi. Sebagai ibu bapa, mereka seharusnya peka pada emosi dan sensitiviti anak masing-masing agar keyakinan diri anak berkenaan tidak berkurangan.

2. Rahsia Pelukan Dan Ciuman
Kajian menunjukkan, anak-anak yang dipeluk dengan penuh kasih sayang setiap hari akan membesar dengan emosi yang baik, berkeyakinan dan memiliki kekuatan IQ yang tinggi. Nah, sudah mengetahui rahsianya maka usah sekali-sekali biarkan anak kesayangan anda tidur atau bangun tanpa pelukan dan ciuman.

Fahamilah bahawa mereka mempunyai perasaan ingin dibelai, dimanjakan serta disayangi oleh ibu bapa biarpun ada ketikanya kerenah yang ditunjukkan sedikit menjengkelkan. Terimalah bahawa ia hanya untuk menarik perhatian dan bukannya sikap yang sebenar.

3. Dorong Anak Buat Kebaikan
Setiap kali si anak membuat kebaikan atau mencapai suatu kejayaan maka berilah kata semangat seperti ‘bagus’, ‘pandai’, ‘tahniah’ atau apa sahaja bagi menggerakkan diri mereka untuk lebih seronok melakukan perkara-perkara baik.

Seeloknya iringilah dengan perlakuan seperti pelukan, ciuman, pemberian hadiah atau pujian untuk menunjukkan betapa anda menghargai usaha yang ditunjukkan. Selain itu, boleh juga pamerkan sikap ambil berat dengan membuat persiapan majlis hari jadinya atau menyediakan hadiah biarpun harganya tidak seberapa. Anak-anak yang lahir dari persekitaran yang menghargai dirinya akan belajar untuk menghargai orang lain juga.

4. Hargai Barang Kesayangan Anak
Cubalah hargai barang-barang kesayangan anak terutamanya permainan biarpun tayar lorinya sudah hilang sebelah. Jangan sekali-sekali membuangnya tanpa meminta kebenaran kerana dikhuatiri si anak akan berkecil hati apabila mendapat tahu perkara yang sebenar.

Perlahan-lahan, ajarlah si manja anda bagaimana untuk mengemas dan menyimpan kembali mainan yang telah digunakan. Nescaya dengan cara ini, barang kesayangan anda juga akan dijaga dengan baik kerana anda menghormati barang kesayangan mereka.

5. Jangan Letakkan Harapan Tinggi
Usah pertaruhkan harapan yang tinggi untuk kejayaan anak-anak dalam semua perkara. Sedarlah bahawa mereka hanyalah kanak-kanak yang sedang melalui proses pembelajaran dan tentunya tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

Ketahuilah bahawa proses perkembangan mereka berperingkat dan berkemungkinan besar pengajaran bukanlah pada kali pertama ilmu itu diterima. Jangan mudah berikan hukuman atau herdikan sekiranya mereka gagal penuhi ‘kehendak’ anda setelah perkara yang sebenarnya diketahui.

6. Carilah Masa Berkualiti
Berikan sepenuh perhatian pada anak-anak. Caranya mudah sahaja iaitu dengan mengelakkan diri dari membawa bebanan kerja ke rumah. Secara tidak langsung ia membuatkan si anak beranggapan bahawa kerja lebih penting dari mereka.

Sedarlah bahawa anak-anak ini memerlukan anda untuk membuat sebarang keputusan. Peruntukan masa yang berkualiti untuk mereka dan sekiranya keluar bersiar-siar, usah sesekali lupa untuk memegang tangan sewaktu berjalan bersama. Ia sebenarnya menjadikan si anak berasa lebih selamat dan berfikiran bahawa kehadirannya sentiasa diperlukan.

Lahirkan Anak Kreatif Dan Cemerlang
1. Ibu yang sedang mengandung perlu sentiasa berfikiran positif dan menyelesaikan masalah dengan cara yang tenang.
2. Memberi tugasan dan tanggungjawab kepada anak bersesuaian dengan usia mereka.
3. Cuba meningkatkan kreativiti anak dengan aktiviti serta permainan yang menggunakan minda.
4. Mendedahkan anak kepada aktiviti kemahiran hidup
5. Melatih anak menyempurnakan tanggungjawab sebaiknya terutama soal perintah agama.

Google Tag Search Result:

Leave a Reply