Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Pertumbuhan Janin Yang Ibu Bapa Patut Tahu

janin dalam rahim ibu

Setiap pasangan suami-isteri setelah mengetahui yang isteri sedang mengandung akan dengan gembiranya membuat persediaan untuk menerima bayi baru mereka. Tetapi dalam tempoh si isteri itu sedang mengandung kadang-kala timbul perasaan suka dan curiga. Hasrat suami-isteri memanglah untuk mendapatkan janin yang sihat, yang sempurna sifat-sifatnya tanpa kecacatan pada tubuh badannya. Proses pertumbuhan janin selama 40 minggu itu merupakan proses yang sangat pesat terutamanya dalam peringkat trimester pertama. Daripada peringkat pensenyawaan (fertilisation) di mana sel-sel dari pihak lelaki dan perempuan bertemu mewujudkan apa yang dinamakan zygote dalam bahasa Inggerisnya. Proses multiplikasi sel-sel ini akan berterusan dengan pesatnya sehingga terdapat tiga lapisan sel-sel yang berlainan, iaitu ektodem, mesodem dan endodem. Daripada lapisan-lapisan ini akan bertubuhlah berbagai-bagai organ dan sistem-sistem janin. Adalah menakjubkan kalau kita fikirkan bagaimana proses-proses ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur sehingga tertumbuhnya janin yang sempurna sifat-sifatnya tanpa apa-apa kecacatan. Semua ini membayangkan kekuasaan Allah s.w.t.

Kecacatan kepada janin boleh juga berlaku kerana berbagai-bagai faktor. Ada punca kecacatan pada janin yang kini dapat diketahui tetapi ada juga yang masih tidak dapat dikesan walaupun pada masa kini terdapat teknologi yang begitu maju.


Seseorang wanita dalam lingkungan umur dua puluhan yang mengandung bagi kali pertama mempunyai peluang yang baik sekali untuk melahirkan bayi yang tidak cacat. Apabila ia meningkat ke peringkat umur empat puluhan risikonya untuk mendapat bayi cacat meningkat lebih sedikit. Walau bagaimanapun peluang untuk mendapat bayi normal , jika tidak ada bayi -bayi atau saudara-mara yang berdekatan yang cacat kerana unsur genetik masih juga tinggi. Hakikat ini perlulah disedari oleh seseorang wanita supaya mereka tidak merasa curiga atau takut untuk mendapat anak. Bagi mereka yang mempunyai adik – beradik atau saudara -mara berdekatan yang cacat , mereka bolehlah mendapatkan maklumat dari doktor untuk mengetahui sama ada kecacatan itu disebabkan oleh punca -punca genetik ataupun punca-punca lain yang jarang akan berulang.

Kandungan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian , iaitu trimester pertama , trimester kedua dan trimester ketiga. Tempoh suatu trimester itu adalah selama 13 minggu. Trimester pertama iaitu kandungan 13 minggu pertama merupakan waktu yang sangat kritikal kerana sesuatu penyakit yang dihidapi oleh pendedahan kepada unsur -unsur kimia atau persekitaran kepada wanita yang mengandung boleh membawa kesan yang buruk kepada janin pada waktu ini. Trimester pertama merupakan waktu yang sangat aktif dalam proses pertumbuhan asas organ-organ dan sistem -sistem janin. Itulah sebabnya penyakit Rubella umpamanya jika dihidapi oleh seseorang wanita yang mengandung adalah lebih merbahaya jika terkena pada trimester pertama. Sesuatu gangguan kepada pertumbuhan janin pada trimester yang pertama samaada penyakit-penyakit yang dihidapi oleh ibu , unsur -unsur persekitaran seperti pendedahan sinaran X , bahan-bahan kimia di udara dan ubat -ubat yang dianggap teratogenik bukan sahaja akan menjejaskan pertumbuhan janin malahan boleh menyebabkan keguguran. Jika keguguran tidak berlaku, pertumbuhan janin akan terus berjalan tetapi janin itu besar kemungkinan akan cacat. Jika kecacatan pada organ-organ terlampau teruk janin itu mungkin akan mati semasa di dalam kandungan lagi. Jikalau ini tidak berlaku, selalunya bayi itu akan hidup untuk beberapa ketika sahaja selepas dilahirkan.

Samaada seseorang bayi itu boleh hidup dengan kecacatan hanya boleh ditentukan oleh organ-organ yang terlibat. Kerosakan pada jantung yang tidak sesuai untuk menampung keperluan hidup seseorang bayi akan menyebabkan bayi itu mati sejurus selepas dia dilahirkan. Sebaliknya jantung yang berlubang (seperti ventricular sepal defect) tanpa kerosakan yang lain mungkin tidak akan membawa maut kepadanya. Keadaan ini boleh meyebabkan bayi itu mendapat penyakit paru-paru (pneumonia) atau tidak subur. Kebanyakan lubang itu boleh tutup sendiri tanpa rawatan pembedahan. Gangguan kepada tumbuhan janin yang wujud semasa trimester kedua dan ketiga biasanya tidak memberi kesan yang sangat buruk kepada pertumbuhan janin. Umpamanya, jika wanita hamil menghidap penyakit Rubella pada usia 18 minggu mengandung bayi yang dilahirkannya mungkin hanya pekak sahaja, sedangkan, jika dia mengidap penyakit ini pada waktu trimester pertama, bayi yang dilahirkannya akan lebih kecil dari biasa, mengalami lebam hati (neo-natal hepatitis), selaput di mata (cataract), atau gangguan jantung dan saiz kepalanya kecil serta dia pekak dan sebagainya.

Bayi-bayi yang dilahirkan ringan (kurang dari 5 paun) adalah disebabkan oleh berbagai-bagai faktor. Punca yang biasa didapati dan boleh dikawal ialah jika ibu mengandung mengidap penyakit darah tinggi (pre-eclamptic toxaemia) daripada peringkat trimester kedua lagi. Keadaan ini boleh dikesan dari pemeriksaan antenatal dan rawatan sewajarnya boleh diberikan untuk menurunkan darah tinggi. Ibu-ibu yang merokok, meminum alkohol dan ibu-ibu yang rendah tahap pemakanannya juga boleh menyebabkan bayi dilahirkan ringan. Banyak juga di antara bayi-bayi yang dilahirkan kurang berat tidak dapat dikesan punca-puncanya tetapi sekumpulan besar daripada bayi-bayi yang kecil ini terdapat dari golongan mereka yang datang dari kumpulan sosio-ekonomi yang lebih rendah.

Bayi -bayi yang mengalami gangguan kromosom trisomy 18 ( sindrom Edward ) dan (sindrom Patau ) boleh menyebabkan mereka dilahirkan lebih kecil dengan kecacatan fizikal seperti kecacatan jantung , kecacatan otak dan sebagainya.

Cara -cara mengawasi pertumbuhan janin

Doktor -doktor telah lama menggunakan tanda -tanda seperti timbangan berat ibu yang mengandung dan pembesaran rahim dari semasa ke semasa untuk mendapat maklumat tentang kadar pertumbuhan janin di dalam kandungan. Alat -alat yang lebih moden seperti ultrasonography telah digunakan untuk mengikuti pertumbuhan janin di dalam kandungan. Alat ini tidak memberi pancaran sinaran X kepada ibu dan janin dan berjaya memberi maklumat seperti janin kembar , tumbuhan di dalam rahim dan juga beberapa keadaan kecacatan fizikal di tubuh janin. Untuk mengikuti pertumbuhan janin di dalam kandungan , doktor -doktor membuat pemeriksaan ultra-sound dari usia kandungan 16 minggu hingga 20 minggu dan juga membuat sekurang-kurangnya satu lagi ujian pada usia kandungan lebih daripada 32 minggu. Daripada maklumat yang didapati doktor -doktor dapat mengetahui sama ada kadar pertumbuhan janin itu memuaskan.

Kesimpulan

Walaupun pasangan suami-isteri Islam digalakkan oleh agama untuk memohon kepada Allah s.w.t. supaya di anugerahkan cahaya-mata yang sihat , yang sempurna sifat-sifatnya, mereka juga mestilah mendapatkan maklumat dan berikhtiar untuk memastikan supaya ibu mengandung itu berada dalam keadaan sihat dan dilindungi dari keadaan-keadaan yang boleh mengganggu pertumbuhan janin. Seseorang wanita boleh mendapatkan ujian darah untuk memastikan yang dia mempunyai imuniti kepada penyakit rubella umpamanya. Ibu mengandung dinasihatkan supaya mendapat pemeriksaan ante-natal supaya penyakit-penyakit seperti darah tinggi , kencing-manis , anaemia , penyakit infeksi kencing dan sebagainya dapat dirawat dengan sewajarnya. Seseorang ibu mengandung yang mendapati tanda-tanda kelahiran seperti pecah air , rahim berdarah atau sakit di bahagian abdomennya mestilah mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Kelahiran prematur boleh dihentikan dengan ubat-ubat jika rawatan di beri peringkat awal lagi.

kredit: hamidarshat.com

Google Tag Search Result: