Soalan:
Saya telah bernikah di Siam secara senyap-senyap untuk mengelakkan dosa maksiat.
Apa hukumnya setelah bernikah di Siam, kemudian saya bernikah sekali lagi di Malaysia?
Dan kalau ada orang bertanya sudah kahwin ataupun belum, saya jawab belum bagi menutup rahsia, bagaimana?
Jawapan:
Akad nikah sah apabila cukup dengan syarat-syaratnya yang telah digariskan oleh para ulamak iaitu mesti ada calon suami, calon isteri, wali, saksi dan ijab dan kabul. Sehubungan dengan itu akad nikah walaupun di negara mana sekalipun diadakan termasuk di negara jiran Thailand adalah sah jika mencukupi syarat-syarat dan rukunnya. Cuma yang sering menjadi persoalan ialah adakah akad nikah itu benar-benar dilakukan dengan imam-imam yang bertauliah dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Biasanya kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf imam-imam yang benar-benar layak sahaja. Ini bermakna akad nikah yang dijalankan oleh imam-imam yang tidak bertauliah tidak sah. Soalnya sekarang kenapa harus berkahwin di Thailand tidak di negara sendiri. Jika alasan yang diberikan ialah kerana wali perempuan tidak mengizinkan akad nikah itu, sedangkan kedua pasangan sudah sekufu maka kes seumpama ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah, kerana ia termasuk dalam kes wali enggan mewalikan perkahwinan. Pihak berkuasa agama di negara kita mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan perkara ini. Kerana itu kenapa semestinya bernikah di negara jiran.
Akad nikah yang dilangsungkan sekali lagi kerana memenuhi keperluan undang-undang pendaftaran nikah kahwin di Malaysia tidaklah membatalkan perkahwinan yang pertama. Bagaimanapun perkara ini amat tidak elok dilakukan, kerana menampakkan soal nikah kahwin yang begitu besar urusannya itu seolah-olah menjadi bahan permainan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mengadakan akad nikah sekali lagi kerana urusan pendaftaran tidak menjadi masalah.
Jika anda mengaku masih bujang sedangkan anda sudahpun berkahwin, maka perbuatan anda ini termasuk dalam ertikata kinayah atau penggunaan simbolik. Ini bermakna jika anda berniat untuk menceraikan isteri anda, maka jatuhlah talak ke atas isteri anda itu mengikut yang anda niatkan. Tetapi jika anda bermaksud untuk menyembunyikan perkahwinan itu takut mendapat malu, maka perbuatan anda ini amat tidak wajar kerana menyalahi sunnah Rasulullah yang menyuruh supaya diisytiharkan perkahwinan dan disembunyikan pertunangan.
Kecuali pada pandangan anda, anda akan ditimpa mara bahaya yang lebih besar dan kemungkinan anda akan dibunuh jika anda mengumumkan perkahwinan anda, dikala itu haruslah kepada anda menyembunyikannya buat sementara waktu perkahwinan itu. Bagaimanapun anda tidak boleh menyembunyikannya secara berterusan. Sampai bilakah anda harus berada dalam keadaan begitu?









