Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Perkhidmatan Kesihatan Di Sekolah Yang Wajib Ibu Bapa Kena Tahu

kid clinic

Perkhidmatan kesihatan sekolah adalah satu perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada murid-murid yang berada di sekolah bagi memastikan penjagaan kesihatan yang optimum. Keutamaan diberikan kepada murid-murid sekolah bantuan kerajaan di seluruh Malaysia. Perkhidmatan kesihatan telah dimulakan di negara ini pada tahun 1967 dan mulai tahun 1975, pasukan kesihatan sekolah ditubuhkan bagi membolehkan lawatan dibuat ke sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia.

Kumpulan sasar

Secara umumnya, setiap tahun hampir 1.8 juta murid sekolah rendah dan menengah di Malaysia mendapat faedah langsung melalui perkhidmatan kesihatan sekolah ini. Kategori murid yang diberi pemeriksaan kesihatan adalah:

  • Pra sekolah.
  • Tahun 1.
  • Tahun 6 dan.
  • Tingkatan 3.

Pakej perkhidmatan kesihatan

Perkhidmatan kesihatan di sekolah boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama. Tiga komponen tersebut terdiri daripada:

  • Perkhidmatan Kesihatan Sekolah.
  • Perkhidmatan Pergigian Sekolah.
  • Perkhidmatan Alam Sekitar Sekolah.

Perkhidmatan kesihatan sekolah

Di bawah perkhidmatan kesihatan sekolah, murid-murid menerima perkhidmatan pencegahan penyakit, saringan kesihatan, rawatan ringan dan rujukan ke klinik atau hospital. Perkhidmatan ini adalah bertujuan seperti berikut:

  • Mengekalkan tahap kesihatan murid di paras paling optimum melalui promosi kesihatan, pencegahan penyakit, rawatan dan rujukan.
  • Mengesan masalah kesihatan yang boleh menghalang pencapaian akademik murid di sekolah dan seterusnya membuat rujukan awal bagi membolehkan intervensi awal dan penempatan murid dalam sistem pendidikan khas.
  • Menggalakkan penglibatan masyarakat bagi membentuk sekolah sebagai institusi yang sihat dan selamat bagi membolehkan pembelajaran yang berkesan.

Buku Rekod Kesihatan Murid

Buku Rekod Kesihatan Murid (RKM1) adalah dokumen yang mencatatkan semua maklumat kesihatan yang diperoleh semasa alam persekolahan. Buku ini adalah buku rujukan yang mencatatkan proses pertumbuhan dan perkembangan murid semasa alam persekolahan. Buku ini diberi secara percuma oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi setiap murid sekolah semasa tahun 1 persekolahan. Ibu bapa dikehendaki mengisi maklumat murid di dalam buku tersebut dan mencatatkan kebenaran untuk petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan memberi pelalian kepada anak mereka.

Adalah penting untuk IBU BAPA dan PENJAGA memahami kandungan yang terdapat dalam RKM 1 sebagai panduan penjagaan kesihatan anak mereka sepanjang masa persekolahan. Buku ini disimpan oleh pihak sekolah bagi memudahkan pengawasan kesihatan murid dan akan diberikan kepada murid sekiranya mereka hendak bertukar sekolah atau menaiki sekolah menengah. Seterusnya buku ini perlu di serah kepada sekolah yang baru untuk simpanan. Ibu bapa boleh minta buku ini daripada pihak sekolah sekiranya ingin melihat rekod kesihatan anak mereka.

Pendidikan kesihatan

Pendidikan kesihatan di sekolah terbahagi kepada pendidikan kesihatan secara berkelompok dan individu.

Pendidikan kesihatan secara berkelompok adalah pendidikan kesihatan yang dijalankan melalui kempen atau kem-kem kesihatan di sekolah. Murid-murid mendapat pengetahuan melalui pameran, ceramah dan tunjuk cara oleh anggota kesihatan. Pendidikan kesihatan secara berkelompok mengutamakan masalah kesihatan awam yang berkaitan dengan golongan murid sekolah contohnya saringan talasemia, ‘tak nak merokok’ dan gaya hidup sihat.

Pendidikan kesihatan individu diberi sebagai khidmat nasihat dan kaunseling semasa sesi pemeriksaan kesihatan. Isu-isu yang lazim didapati adalah berkaitan dengan pemakanan, penyakit kulit, kebersihan diri dan lain-lain .

Imunisasi kesihatan sekolah

Sebagai kesinambungan kepada imunisasi alam kanak-kanak, murid-murid sekolah diberi imunisasi seperti di bawah :

JADUAL IMUNISASI MURID-MURID SEKOLAH YANG DILAKSANAKAN OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Tahun 1
BCG sekiranya tiada parut
Diptheria dan Pertussis
Polio
Mumps, measles dan rubella
Tingkatan 3
Tetanus

Sekiranya anak-anak didapati tidak mendapat pelalian di atas kerana tiada kebenaran ibu bapa atau anak tidak hadir ke sekolah pada masa lawatan Pasukan Kesihatan ke sekolah, ibu bapa boleh membawa anak mereka ke klinik-klinik kesihatan yang berhampiran dengan rumah untuk mendapatkan pelalian-pelalian ini.

Pemeriksaan kesihatan diri

Pemeriksaan kesihatan diri adalah satu pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan, Jururawat Kesihatan dan/atau Penolong Pegawai Perubatan semasa murid berada dalam pra sekolah, tahun 1, tahun 6 dan tingkatan 3. Pemeriksaan yang dilakukan adalah seperti dalam jadual di bawah:

JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TAHUN 1
Pemeriksaan Kesihatan
Sebab diperlukan
Pemeriksaan tinggi dan berat Menentukan status pemakanan murid
Pemeriksaan mata Mengesan masalah rabun, mata malas yang boleh mengganggu pencapaian akademik.
Saringan pendengaran Mengesan masalah pendengaran minimum dan sederhana yang boleh menghalang pencapaian akademik
Pemeriksaan jantung dan paru-paru Mengesan masalah penyakit jantung kongenital yang tidak dikenal pasti semasa bayi. Kes-kes yang dikenal pasti akan dirujuk untuk pengesahan.
Pemeriksaan tulang rangka Mengesan kecacatan tulang rangka yang tidak dikesan semasa bayi.
Pemeriksaan kebersihan diri Mengesan jangkitan kutu kepala, kudis buta, masalah kulit untuk diberi rawatan.
Pemeriksaan testis Mengesan masalah seperti ‘hydrocele’ dan ‘undescended testis’ di kalangan murid lelaki.
Pengesanan masalah pembelajaran Menerima rujukan kes daripada guru-guru yang melaporkan murid mempunyai masalah dalam kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Murid-murid ini seterusnya akan dirujuk kepada pakar untuk mendapat pengesahan masalah dan penempatan pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan murid.

JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TAHUN 6
Pemeriksaan Kesihatan
Sebab diperlukan
Pemeriksaan tinggi dan berat Menentukan status pemakanan murid sama ada mempunyai berat badan unggul, berisiko berat badan atau obes.
Pemeriksaan mata Mengesan masalah rabun yang belum dikenal pasti dan peningkatan rabun di kalangan murid yang memakai cermin mata.
Saringan rabun warna
  • Dijalankan ke atas murid lelaki oleh sebab berlaku di kalangan murid lelaki sahaja.
  • Mengesan masalah rabun warna ‘color defect’ yang boleh mempengaruhi pilihan kerjaya murid.
Pemeriksaan tulang rangka Mengesan masalah skoliosis di peringkat awal. Kes-kes yang disyaki akan dirujuk ke hospital untuk pengesahan dan intervensi awal.
Pemeriksaan kebersihan diri Mengesan jangkitan kutu kepala, kudis buta, masalah kulit untuk diberi rawatan.

JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TINGKATAN 3
Pemeriksaan Kesihatan Sebab diperlukan
Pemeriksaan tinggi dan berat Menentukan status pemakanan murid sama ada mempunyai berat badan unggul, berisiko berat badan atau obes.
Pemeriksaan mata Mengesan masalah rabun yang belum dikenal pasti dan peningkatan rabun di kalangan murid yang memakai cermin mata.
Saringan rabun warna
  • Sekiranya tidak dilakukan pada tahun 6.
  • Mengesan masalah rabun warna ‘color defect’ yang boleh mempengaruhi pilihan kerjaya murid.
Saringan pendengaran Mengenal pasti murid mengalami risiko kepekakan.
Pemeriksaan tulang rangka Mengesan masalah skoliosis di peringkat awal. Kes-kes yang disyaki akan dirujuk ke hospital untuk pengesahan dan intervensi awal.
Saringan kesihatan remaja Optional . Tidak dilakukan di semua sekolah. Ibu bapa yang berminat boleh membawa anak untuk mendapatkan saringan ini di klinik kesihatan yang berhampiran.

Masalah-masalah kesihatan yang dikesan di kalangan murid sekolah

Antara masalah-masalah kesihatan yang dikesan di kalangan murid sekolah adalah:

  • Obesiti
  • Ketajaman penglihatan
  • Rabun warna
  • Tulang rangka yang tidak normal
  • Jangkitan cacing
  • Kudis buta
  • Kurang pendengaran

Rawatan dan rujukan kesihatan

Rawatan diberikan kepada semua murid-murid yang dikesan mengalami masalah ringan seperti luka kecil, kudis buta, jangkitan cacing, kutu kepala, rawatan demam dan selesema. Kes-kes yang dirujuk pula adalah kes-kes yang memerlukan pemeriksaan lanjut untuk pengesahan kes. Antara masalah kesihatan yang dirujuk adalah masalah ketajaman penglihatan, rabun warna, masalah degupan jantung dan kes disyaki menghidap skoliosis.

Lawatan ke rumah

Pasukan kesihatan sekolah juga menjalankan lawatan ke rumah pada masa cuti persekolahan. Lawatan ke rumah ini dilaksanakan sama ada dengan menelefon ibu bapa di rumah ataupun jururawat akan membuat lawatan ke rumah untuk memastikan murid-murid yang terlepas peluang mendapat imunisasi di sekolah datang ke klinik kesihatan untuk pelalian ataupun untuk mendapatkan maklum balas mengenai status rujukan yang dibuat ke hospital.

Pemeriksaan kesihatan pergigian sekolah

Perkhidmatan ini dilaksanakan oleh pasukan pergigian sekolah yang melawat semua sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Perkhidmatan kesihatan persekitaran sekolah

Perkhidmatan persekitaran sekolah adalah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran secara bersepadu. Pemeriksaan persekitaran sekolah meliputi pemeriksaan infrastruktur sekolah, kebersihan, pengawalan penyakit bawaan vektor dan pemantauan kebersihan dan pengendalian kantin sekolah.

Perkhidmatan kawasan persekitaran sekolah ini adalah tertakluk di bawah beberapa akta seperti Akta Kawalan Tembakau dan Akta Kawalan Penyakit Bawaan Vektor yang membawa kepada denda sekiranya pihak pengurusan sekolah didapati gagal mematuhi akta-akta tersebut. Di bawah perkhidmatan ini, sekolah-sekolah menubuhkan pasukan-pasukan bagi membinasakan tempat pembiakan nyamuk di sekolah bagi membanteras penyakit demam denggi dan mewartakan sekolah sebagai kawasan larangan merokok. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran akan membuat pemeriksaan di sekolah setiap tahun bagi memastikan sekolah adalah bersih dan selamat.

Lain-lain perkhidmatan berkaitan kesihatan di sekolah.

Selain daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran turut bertanggungjawab dalam kebajikan murid di sekolah. Program Bekalan Makanan Tambahan dan Program Susu Sekolah yang diberikan kepada murid-murid sekolah rendah yang layak adalah contoh perkhidmatan berkaitan kesihatan yang termasuk dalam kategori ini.

Sumber | Gambar