Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Penggunaan Alat Memasak Dalam Penyediaan Sajian Seimbang

gambar hiasan

Penggunaan peralatan dan perkakas, bukan saja memudahkan proses penyediaan makanan bayi, tetapi menjimatkan masa. Anda boleh memilih alat perkakas mengikut kesesuaian, yang paling penting, tahu isi kandungan makanan yang disuapkan ke mulut si manja.

Berikut adalah beberapa cara anda boleh menggunakan alat perkakas yang berlainan untuk membantu anda menyediakan makanan yang sihat untuk si manja.

Pengukus atau periuk dan kuali
Kukus atau rebus makanan hingga masak. Sebaik-baiknya, kukus sayuran sebelum dijadikan puri bagi mengekalkan nutrien. Buah-buahan lebih keras seperti epal dan buah pir dan juga ikan, daging dan ayam juga boleh dikukus atau direbus sebelum dikisar.

Pengisar atau pemproses makanan
Sebaik saja makanan yang perlu dilembutkan sudah dimasak, masukkan ke dalam pengisar atau pemproses makanan dan kisar hingga halus mengikut sesuai penerimaan dengan bayi anda. Tambah cecair seperti susu ibu, susu formula, air atau air rebusan makanan yang anda masak untuk mencairkan makanan bayi apabila perlu.

Lenyek!
Banyak makanan boleh dilenyek dengan garpu biasa atau alat pelenyek kentang. Pisang masak, keledek kukus atau rebus, epal atau labu boleh dilenyek. Pastikan makanan yang dilenyek sesuai dengan jenis tekstur makanan yang diperlukan oleh bayi anda.

Gunakan pengisar
Satu lagi cara mengisar makanan atau menyediakan puri untuk membuat sup, sos dan kentang lenyek ialah dengan memotong makanan menjadi potongan kecil dan kisar (kulit dan biji akan tinggal dalam pengisar).

Pengisar makanan biasa
Penggunaan pengisar makanan juga menyenangkan anda menyediakan puri makanan untuk anak. Cara ini juga mudah untuk menyediakan daging dan makanan yang lebih bertekstur.

Ayak atau tapis untuk menyediakan makanan bayi masakan rumah
Anda boleh menggunakan alat pengayak atau penapis untuk menapiskan lagi makanan bayi anda, terutama sekali makanan yang berkulit seperti kacang pis dan kacang hijau. Tuang makanan ke dalam pengayak atau penapis dan tadah dalam mangkuk.

Gunakan parut
Jika anda ingin menyediakan makanan kudapan untuk si kecil, parut keju boleh digunakan untuk memarut buah-buahan dan sayuran. Kupas buah-buahan masak dan sayuran seperti epal dan lobak merah, kemudian parut menggunakan mata parut halus. Hasil parutan yang nipis atau halus ini mudah dikunyah. Anda juga boleh menggunakan parut keju untuk memarut keju atau daging dan ayam yang sudah dimasak lembut untuk membuat makanan kudapan untuk bayi anda.

Penggunaan pelbagai peralatan dan perkakas ini bukan sekadar memudahkan proses penyediaan makanan, malah menjimatkan masa. Anda boleh memilih alat perkakas mengikut kesesuaian, yang penting anda tahu isi kandungan makanan yang anda suapkan ke mulut si manja.

Sumber | Gambar