
Episotomi dan caesarean merupakan 2 jenis luka bersalin yang biasa didengar. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang penjagaannya, Dr. Khairiah bt Seman, Pakar Perunding O&G dari Pusat Bersalin Barakah, Bandar Puteri Klang ada maklumat lanjut.
Menurut beliau, secara umumnya, episotomi adalah luka yang dikaitkan dengan bersalin secara normal. Walaupun begitu, tidak semua kelahiran normal akan dilakukan episotomi. Episotomi berbeza dengan luka biasa. Episotomi adalah luka akibat digunting oleh doktor. Manakala luka biasa adalah yang berlaku secara semula jadi semasa proses kelahiran. “Dahulu, hampir kebanyakan wanita yang bersalin anak sulung secara normal akan dilakukan episotomi. Kini tidak lagi kerana kesakitan yang dialami oleh mereka lebih daripada luka sendiri,” tegas Dr. Khairiah. Tambahnya, banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa episotomi menyebabkan risiko luka menjadi lebih besar. Hal ini berbeza dengan luka yang terjadi dengan sendirinya. Sakitnya hanya sedikit kerana tidak melibatkan otot yang banyak.












