Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Nur Suryani, Ibu Hamil Memburu Pingat Di London

Nur Suryani Penembak Malaysia Yang Hamil

KUALA LUMPUR – Sedar akan risiko yang bakal dihadapi dengan memilih untuk beraksi pada Sukan Olimpik dalam keadaan sarat mengandung, bintang menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi membuat keputusan untuk tidak membawa jurulatihnya ke London, sebaliknya mahu ditemani oleh suami.

Bagi Nur Suryani dia lebih mementingkan keselesaan untuk bertanding di Temasya London, yang berlangsung dari 27 Julai hingga 13 Ogos ini berbanding mendapatkan pandangan teknikal daripada jurulatih, Saidov Isroil.

Dia yang sarat mengandung lapan bulan apabila turun beraksi di Olimpik telah membuat permintaan agar dirinya ditemani suami, Lans Korporal Marhazli Mhotar.

“Jurulatih hanya boleh memberi tunjuk ajar secara praktikal atau teknikal, tetapi semua itu saya boleh perolehinya sepanjang persiapan di sini. Di Olimpik nanti, saya harus membina kekuatan mental dan suami adalah orang yang saya perlukan.

“Suami saya bukanlah seorang penembak tetapi dia adalah ahli psikologi terbaik yang boleh memberi motivasi dan dorongan kepada saya, malah selama ini dialah yang memberi sokongan bagi mengejar impian beraksi di Olimpik.

“Kehadirannya di sisi membuatkan saya berasa lebih selesa apabila bertanding nanti. Lagipun, jika ada apa yang berlaku sepanjang saya berada di London, saya berasa lebih terjamin,” katanya yang ditemui di Lapang Sasar Menembak Negara di sini semalam.

Tatkala ada pihak mempersoalkan kegagalan Nur Suryani merancang kehamilan, pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu amat bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan cahaya mata dan pada masa sama berkesempatan merealisasikan impian beraksi di Olimpik.

“Kurniaan anak pertama dan tiket Olimpik adalah pemberian berganda terbaik dari Allah. Mudah-mudahan anak saya ini adalah pembawa tuah pada Olimpik saya nanti.

“Saya disahkan hamil dua hari sebelum turun dalam acara saya di Doha (Kejohanan Asia), dan tanpa memikirkan keadaan saya lapan bulan akan datang, dalam kegembiraan saya berjaya menempah tiket ke Olimpik,” ujar pemenang pingat emas berganda Sukan SEA 2011 itu.

Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bermesyuarat Isnin lalu mengesahkan nama Nur Suryani sebagai anggota kontinjen ke Temasya London.

Penembak berusia 30 tahun itu mendedahkan betapa dia berasa tertekan untuk tempoh beberapa bulan lalu apabila statusnya ke London tiba-tiba menjadi samar.

“Saya meraih slot secara merit, jadi saya memang berhak untuk bertanding. Ia adalah peluang sekali dalam seumur hidup, kenapa saya harus melepaskannya.

” Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, oleh itu tiada alasan kenapa saya tidak ke London sedangkan keadaan masih mengizinkan,” katanya lagi.

Nur Suryani yang akan beraksi pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) bermula esok turut lega kerana jadual pertandingan di London amat menyebelahinya.

Acara Air Rifle 10 meter wanita merupakan acara pertama sehari selepas majlis pembukaan dilakukan iaitu pada 28 Julai.

“Saya akan ke London pada 22 Julai dan patut pulang pada 29 atau 30 Julai.

“Penerbangan juga bukan masalah. Peraturan melarang mereka yang hamil 35 minggu ke atas daripada menaiki penerbangan.

“Saya pula akan pergi pada minggu ke-33 dan pulang pada minggu ke-34,” katanya.

Kredit: Utusan