Merokok Jejas Kehamilan

KESAN buruk merokok diketahui kebanyakan individu, malah jika ditanya perokok, mungkin mereka juga lebih maklum akibat daripada tabiat merugikan diri itu.

Bukannya mereka tidak mengetahui fakta mengenai 4,000 bahan kimia berbahaya yang ada pada asap rokok yang menjejaskan sistem daya tahan tubuh serta mengakibatkan pelbagai jenis penyakit.

Namun, niat untuk berhenti merokok sukar dilaksanakan biarpun ia bukan mustahil jika mempunyai keazaman kuat.

Mengapa merokok tidak baik untuk kesihatan dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kesuburan dan menjejaskan reproduksi serta kehamilan? Ada bukti kukuh menunjukkan ibu hamil yang merokok memberi kesan kepada diri sendiri dan perkembangan bayi yang dikandung.

Asap yang melalui sistem pernafasan bukan saja menyebabkan penyakit seperti bronkitis, pneumonia, lelah, kanser paru-paru dan emphysema (kesukaran bernafas) malah mendedahkan perokok wanita kepada penyakit kronik seperti kanser payudara dan kanser rahim.

Pengarah Klinikal dan Kesuburan Pusat Perubatan Sunway, Dr Wong Pak Seng berkata, merokok di kalangan wanita mempercepatkan hilangnya telur dan menjejaskan fungsi reproduktif, malah perokok wanita berisiko tinggi untuk mendapat haid tidak normal selain mempercepatkan proses menopaus beberapa tahun lebih awal daripada wanita tidak merokok.

Menurutnya, merokok mengganggu keupayaan sel dalam ovari menghasilkan estrogen, menyebabkan telur wanita lebih mudah menghasilkan genetik abnormal (kerosakan genetik).

Untuk lelaki, merokok menyebabkan kemerosotan air mani dan kerosakan kadar asid deoxyribonucleic (DNA) yang tinggi. Selain itu, paras kadmium tinggi dalam plasma bagi perokok tegar menyebabkan kesan sitotoksik langsung pada spermatozoa serta merosakkan fungsinya. Ia turut menjadi punca mati pucuk (mengurangkan aliran darah ke zakar).

“Perokok mengambil masa dua kali lebih lama untuk berjaya hamil menerusi program In-Vitro Fertilization (IVF) atau bayi tabung uji. Risiko untuk gagal dalam rawatan meningkat dengan setiap sedutan dari tahun ke tahun,” katanya dalam forum sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau anjuran Institut Jantung Negara (IJN) di Institut Pengurusan Wanita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Wong berkata, merokok memberi kesan kepada rawatan kesuburan kerana ia merosakkan persenyawaan dan menangguhkan konsepsi kesan daripada gangguan proses spermatozoa dan ovari dibentuk, kegagalan implantasi (penyematan embrio awal ke pengalas uterus) serta keguguran awal.

Ia turut mengurangkan tindak balas kepada rangsangan, mengurangkan kadar untuk hamil dan kelahiran bayi, meningkatkan bilangan kitaran rawatan. Kesan buruk yang ketara lebih dialami wanita berusia.

Beliau berkata, pasangan yang merancang mendapat bayi perlu mengelak merokok dan terdedah menjadi perokok pasif.

Suka atau tidak, ibu hamil harus berhenti merokok demi keselamatan anak dikandung. Merokok mengancam janin kerana menyebabkan kelahiran pra matang, keguguran, lahir mati dan merencat pertumbuhan bayi disebabkan oleh pendarahan dari uri.

Berat bayi yang dikandung wanita merokok juga berkemungkinan tiga kali lebih rendah daripada bayi normal iaitu penurunan berat badan bayi sebanyak 150 hingga 200 gram. Wanita merokok juga lebih mudah mengalami pendarahan pada plasenta.

Menurutnya, tabiat merokok di kalangan bakal ibu turut menyebabkan kadar dan kualiti susu badan berkurangan selain kecacatan kepada bayi seperti kecacatan pada bibir atau sumbing.

Ia turut menyebabkan tahap kecerdasan otak anak berkurangan, anak berisiko tinggi untuk mendapat lelah serta sindrom kematian bayi mengejut.

Google Tag Search Result:

Add a Comment