Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Mengenali Bayi Baru Anda Dengan Lebih Dekat

Menanti kelahiran bayi yang telah hampir 40 minggu berada dalam kandungan isteri benar-benar menguja. Ada yang diselubungi perasaan lantaran bimbang anak yang bakal lahir itu tidak seperti yang diharapkan. Tidak kurang juga yang gembira terutamanya bagi yang sudah bertahun-tahun menunggu. Namun, apa pun perasaan yang hadir, realiti terpaksa dihadapi.

Apabila semakin hampir dengan saat-saat yang ditunggu-tunggu, hati semakin berdebar. Seolah-olah sudah menjadi satu kemestian kepada suami zaman ini untuk menatap sendiri detik-detik kelahiran anak tersayang. Pengalaman yang pastinya akan menjadi kenangan paling berharga untuk seorang insan yang bergelar papa. Walaupun ada di kalangan para suami yang pada mulanya gementar untuk berhadapan dengan situasi sedemikian. Namun, atas permintaan isteri tersayang, mereka sanggup mengetepikan rasa takut dan ngeri untuk bersama-sama memberikan sokongan moral kepada isteri tatkala menantikan kelahiran cahaya mata ke dunia.

Kepada bakal bapa, selain harus bersedia dengan tekanan di bilik bersalin, anda perlu menyiapkan diri untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang bakal anda hadapi sebaik sahaja bayi lahir. Jangan terkejut kalau anak yang lahir nanti kulitnya berkedut, ditambah pula dengan warnanya yang seakan kebiruan dan kurus. Keadaan seperti ini sememangnya lain daripada keadaan bayi yang biasa kita lihat. Untuk pengetahuan anda, perkara ini lumrah setelah sembilan bulan berada dalam rahim ibu.

• Kepala
Biasanya kepala bayi yang baru lahir akan kelihatan sedikit lonjong akibat proses kelahirannya. Ini disebabkan semasa proses tersebut bayi terpaksa melalui ruang yang terhad bukaannya. Tidak dapat dinafikan juga mungkin pada masa itu, pintu serviks ibu masih belum terbuka sepenuhnya. Oleh itu, kepala bayi akan mengikut saiz serviks pada ketika itu. Selain itu, ada sesetengah bayi yang benjol kepalanya. Keadaan ini biasa terjadi sekiranya bayi lahir dengan menggunakan bantuan vakum. Bahagian kepala yang disedut itulah yang akan benjol sedikit. Kepada bapa-bapa, janganlah risau kerana biasanya benjol itu akan hilang dalam tempoh beberapa hari.

• Vernix
Jangan terperanjat jika anda mendapati semasa dilahirkan anak penuh dengan salutan bahan berwarna putih yang berminyak. Bahan tersebut dikenali sebagai vernix yang berfungsi melindungi kulit bayi daripada cecair amnion ketika berada dalam kandungan ibu. Jangan risau, bahan ini boleh dihilangkan dengan hanya mencuci badan bayi dengan air.

• Mata
Jika dilihat pada matanya pula, biasanya berwarna sedikit kebiru-biruan kerana proses pigmentasi masih belum berlaku. Proses ini hanya akan mengambil tempat setelah bayi berusia kira-kira enam minggu. Matanya juga kelihatan bengkak. Bengkak ini akan surut selepas dua atau tiga hari. Usah terkejut dan risau bila mendapati mata anak anda kelihatan sedikit juling. Ini adalah perkara biasa untuk tempoh lapan minggu pertama kerana mereka masih dalam proses untuk menyeragamkan pergerakan mata.

Jangan hairan jika bayi anda tidak menunjukkan sebarang tindak balas sekiranya anda berdiri di depannya. Untuk pengetahuan anda, penglihatan bayi pada minggu pertama kelahirannya hanyalah kira-kira 25sm jaraknya. Ini bermakna, dia hanya boleh melihat benda-benda yang dekat dengannya.

•Tali Pusat
Kepada bapa yang melihat sendiri anak anda dilahirkan, jangan terkejut jika melihat tali pusat bayi anda. Tali pusat ini sangat panjang dan bercantum dengan uri untuk proses pemakanannya semasa berada dalam kandungan. Selepas dilahirkan, doktor atau jururawat akan memotong pendek tali pusat tersebut lalu dikepit dengan klip plastik. Tali pusat ini perlu dijaga rapi sebelum dia tanggal dengan sendirinya kira-kira lima hingga sepuluh hari kemudiannya. Cuci semua kekotoran yang ada padanya untuk mengelakkan jangkitan. Kuman. Sila dapatkan bantuan bidan ataupun doktor sekiranya tali pusat bayi anda mengalami masalah.

• Alat Kelamin
Semasa dilahirkan, alat kelamin bayi sama ada perempuan atau lelaki kelihatan lebih besar daripada yang biasa, seolah-olah membengkak. Jangan risau kerana alat kelamin tersebut akan mengecut selepas beberapa hari dilahirkan. Ada kalanya juga, bayi perempuan akan mengeluarkan sedikit darah ataupun lendir daripada alat kelaminnya akibat perubahan hormon.

• Najis
Najis bayi yang baru lahir melekit dan berwarna hijau kehitaman. Najis ini dikenali sebagai meconium. Najis ini kemudiannya akan bertukar warna sedikit demi sedikit seperti najis bayi yang biasa kita lihat selepas mula menyusu. Pada minggu-minggu pertama kelahirannya, bayi kerap membuang air besar.

• Berat Badan
Berat badan bayi akan berkurangan sehingga 10 peratus selepas satu atau dua hari dilahirkan. Walau bagaimanapun, berat badannya akan bertambah selepas mereka mula menyusu.

• Telinga
Jangan terkejut jika diberitahu bahawa bayi sudah boleh mendengar sejak dari dalam kandungan lagi. Oleh itu, dengarkanlah perkara-perkara yang baik kepada bayi anda semasa mereka berada dalam kandungan agar dia menjadi anak yang soleh, cerdas dan cergas.

• Sentuhan
Percayalah bahawa sentuhan memainkan peranan yang paling penting dalam dunia bayi anda. Belaian lembut daripada anda mencerminkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya. Belailah anak-anak sekerap mungkin kerana anak akan rasa selamat setiap kali berada dalam dakapan anda.

• Rambut
Kepala bayi sudah mula ditumbuhi rambut ketika masih di dalam kandungan lagi. Walau bagaimanapun, rambut ini akan gugur sedikit demi sedikit selepas dilahirkan dan akan digantikan dengan rambut yang baru.

kredit: pa&ma | lifepregnancy.com

Google Tag Search Result: