Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Menangani Rasa Takut Anak

Takut Pada Kanak-Kanak

Anak-anak adalah permata yang paling berharga dalam sesebuah keluarga. Kehadirannya amat dinantikan dan membahagiakan. Dia jugalah merupakan amanah besar yang perlu dijaga dengan baik dan dipastikan kelangsungan hidupnya di hari muka.

Anak yang hebat sudah semestinya lahir daripada sebuah keluarga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang. Ini kerana persekitaran keluarga yang positif ini menyediakan tempat yang paling kondusif untuk anak-anak membesar dengan baik. Sebalik nya jika persekitaran yang disediakan tidak begitu baik maka harapan untuk itu sukar direalisasi. Anak-anak yang positif ber mula daripada asas dalaman juga yang positif.

Perasaan–perasaan negatif perlu dibuang jauh dari dalam dirinya demi menjamin peribadi individu cemerlang yang bakal dilahirkan. Usaha ini memerlukan campur tangan ahli keluarga terutamanya ibu bapa.

Salah satu perasaan negatif yang sering kali mendiami diri anak-anak ialah perasaan takut. Perasaan ini boleh dikategorikan kepada takut yang positif dan takut yang negatif. Takut yang positif ialah takut kepada Allah, takut untuk melakukan perkara yang dilarang dan perkara yang tidak baik. Sebaliknya, takut yang negatif ialah perasaan takut yang boleh meragut keyakinan dan membenam motivasi dirinya seterusnya merencatkan perkembangannya.

Kenapa Takut
Takut ialah sebahagian daripada perkembangan anak yang normal. Ianya terjadi apabila komponen minda, emosi, fizikal dan spiritualnya berkembang dan berhubung dengan pengalaman-pengalaman baru yang muncul dalam kehidupannya lalu membangkitkan rasa takut.

Walau bagaimanapun, keadaan normal ini perlu dibantu untuk mengatasi dan menghadapinya. Kegagalan ibu bapa memberi respons yang dikehendaki sewaktu anak dalam keadaan takut akan membiakkan perasaan itu menjadi fobia dan meragut keyakinan dan motivasi dirinya. Di sini proses perkembangannya akan sedikit terganggu.

Bagaimana untuk membantu anak mengatasi perasaan ini? Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah pastikan apa yang membuatkan anak merasa takut. Contohnya dalam bilik yang gelap, dia merasa takut. Tenangkan dirinya dan cari punca sebenar yang menyebabkan dia merasa takut.

Cuba pelbagaikan cara contohnya buka lampu tidur untuk memberi sedikit cahaya supaya bilik tidak terlalu gelap. Lihat reaksinya jika kegelapan yang menjadi ketakutannya, mungkin ketika ini perasaan takutnya sedikit reda.

Anak-anak penuh dengan imaginasi. Apa yang dilihat di televisyen, buku dan sebagainya akan bermain di dalam fikirannya terutama jika bahan tersebut dilihat dekat dengan tempoh untuk tidur.

Perkara-perkara ini bermain di fikiran dan mengganggu emosinya terutama dalam keadaan yang gelap kerana keadaan yang gelap dalam sebuah bilik adalah berbeza dengan keadaannya sewaktu terang.

Sebaiknya, elakkan anak-anak daripada menonton televisyen sebelum mereka masuk tidur. Perkara yang paling baik dilakukan ialah merangsang minda mereka dengan membaca buku-buku yang ringan dan tidak mengandungi elemen yang menakutkan. Temankan dia sebentar dalam biliknya sehingga dia tertidur.

Nyatakan Perasaan
Seterusnya, beri dia peluang untuk menyatakan perasaannya dan bercerita mengenainya. Melalui penceritaan ini kita boleh mengenal pasti sebab utama yang membuatkannya merasa takut. Ruang yang diberikan oleh ibu bapa ini memberi isyarat kepada anak bahawa ibu bapanya prihatin dengannya dan mengambil berat tentang dirinya. Isyarat ini sudah cukup untuk melegakan sedikit ketakutannya.

Di samping itu, ibu dan bapa boleh menasihati anak melalui cerita yang disampaikan. Tanamkan dalam dirinya bahawa Allah ada dengan kita, sentiasa dengar dan ada dekat, minta pertolongan Allah sebab Allah kuat dan boleh kalahkan semua benda, ibu dan ayah juga sentiasa ada dengan kamu. Mesej yang ringkas dan mudah difahami ini perlu sentiasa diulang supaya anak dapat mengambilnya sebagai persepsi kehidupannya untuk melawan rasa takutnya. Sokongan berterusan yang ditunjukkan menyuntik keyakinan dalam dirinya untuk menghadapi rasa takut.

Selain itu, latih anak hadapi rasa takut. Ajarkannya untuk memberitahu diri perkara-perkara yang positif contohnya, saya boleh tidur dengan tenang malam ini, bilik ini sangat selesa untuk tidur, suasana bilik yang gelap memudahkan saya untuk tidur dan Allah menjaga saya.

Selain itu, beritahu anak apa yang ada dalam biliknya dan tunjukkan benda tersebut supaya dia tahu dan sedar kewujudan semua benda tersebut dalam biliknya. Kesedaran (awareness) ini penting kerana salah satu sebab mereka takut ialah mereka tidak biasa dengan benda-benda yang ada dalam bilik. Sebaliknya jika mereka telah diberitahu mereka akan membina imaginasi tersebut dalam minda dan selesa dengannya.

Akhirnya, latih mereka untuk duduk dalam bilik yang gelap untuk seketika. Beritahu mereka ibu dan ayah ada di luar jika takut keluar dari bilik ini, ayah dan ibu tidak akan tutup pintu. Lihat sejauh mana dia mampu bertahan dalam bilik tersebut. Latihan ini perlu diberikan acap kali.

Pertama kali mungkin dia hanya mampu bertahan seketika atau tidak langsung tetapi tempoh masa tersebut akan bertambah untuk sesi berikutnya dan akhirnya mereka mampu menghadapinya. Untuk latihan ini jangan memaksa, biar anak lakukan dengan sukarela. Paksaan hanya akan meningkatkan rasa takutnya dan menjauhkan dirinya dengan kita.

kredit: Pa&Ma