Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Masalah Haid Tidak Teratur Selepas Bersalin

Ibu Hamil Tertekan Kitaran boleh terjejas akibat penyusuan bayi, makan pil perancang

SAYA berusia 29 tahun, mempunyai seorang anak lelaki berumur empat setengah bulan yang menyusu badan. Masalahnya, kitaran haid saya tidak teratur selepas bersalin dengan pusingan haid hanya 11 hari dan kadangkala 14 hari saja. Sebelum mengandung, pusingan haid adalah normal. Adakah masalah ini disebabkan saya masih menyusukan anak atau kesan sampingan kerana pengambilan pil perancang? Bilakah agaknya pusingan haid akan kembali normal? IZA

Jawapan

Masalah haid seperti yang puan alami memang kerap berlaku selepas bersalin. Sememangnya saya selalu memaklumkan wanita yang baru bersalin bahawa haid mereka tidak akan teratur untuk beberapa bulan pertama atas sebab-sebab seperti berikut:

1. Memberi susu badan

Penyusuan ibu boleh menjejaskan kitaran ovulasi dalam ovari. Ovulasi perlu terjadi setiap bulan untuk mendapatkan haid yang normal dan tetap. Gangguan ovulasi ini berlaku kerana hormon prolaktin yang tinggi semasa penyusuan. Justeru, haid seseorang ibu itu tidak berapa tetap dan ada kalanya berlaku banyak, tempoh yang panjang dan kebiasaannya terhenti. Ini adalah perkara biasa yang mana puan perlu menerimanya. Namun, ia bukanlah sesuatu yang normal sekiranya haid berlarutan beberapa minggu dan terlalu banyak.

2. Pengambilan hormon

Selalunya pil perancang mengandungi hormon estrogen seperti Nordette tidak diberikan kepada ibu yang menyusukan bayi kerana estrogen boleh mengeringkan susu badan. Biasanya saya gunakan hormon progestogen seperti Noriday yang tidak menjejaskan pengeluaran susu. Noriday memang boleh menjadikan kitaran haid terjejas tetapi sebaliknya Nordette menyebabkan kitaran haid tetap. Perlu diingat, gangguan haid boleh terjejas akibat pengambilan pil yang tidak mengikut peraturan betul. Saya cadangkan puan berjumpa semula doktor untuk memastikan pengambilan pil Nordette yang betul. Puan tidak perlu risau jika pil perancang ini tidak dapat memulihkan kitaran haid seperti sebelum berkahwin. Saya percaya selepas puan berhenti menyusukan bayi, ia akan pulih. Apa yang penting sekarang, bayi puan mendapat makanan yang terbaik. Tempoh bila haid seseorang itu akan pulih bergantung kepada berapa lama penyusuan berlaku. Namun, daripada apa yang puan tulis, puan tidak memberikan sepenuhnya susu badan kerana haid puan kembali semula dalam masa empat bulan. Ini bermakna kesuburan puan sudah kembali pulih. Nasihat saya, berhati-hati dan elakkan hamil dalam masa terdekat ini.

Sumber: BHarian

Google Tag Search Result: