Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Masalah Asma Pada Bayi

Bayi Asma

Pernafasan anak saya bunyi berdehit-dehit. Adakah dia menghidap asma?

Anda mungkin bimbang apabila mendengar bayi anda bunyi berdehit, tetapi kemungkinannya itu bukan asma. Kebanyakan bayi dan anak kecil berdehit apabila menghidap infeksi trakus respiratori atas atau selesema.

Asma, di sebaliknya, adalah keradangan tiub respiratori kecil (bronkiol) paru-paru. Jika bunyi berdehit itu berlaku dengan kerap tanpa kehadiran selesema, tanyalah pendapat doktor anda.

Bagi bayi, saluran udara adalah tersangat kecil dan ini boleh menyebabkan bunyi berdehit yang sebenarnya bukan asma. Bunyi berdehit sememangnya sering berlaku semasa masa usia awal bayi, dan selagi dehitan itu tidak berlanjutan selepas usia tiga tahun, kebanyakan doktor berpendapat bahawa anda seharusnya tidak usah bimbang.

Doktor hanya boleh membuat diagnosis asma dengan yakin apabila mereka dapat melihat satu pola simptom bagi satu jangka masa yang agak panjang.

Apa yang menyebabkan asma?

Asma bagi kebanyakan kanak-kanak dan dewasa adalah reaksi terhadap pemicu tertentu – selalunya asap tembakau, bulu haiwan kesayangan, spora kulat, kutu habuk, atau debunga (walaupun infeksi respiratori dan bersenaman dalam udara sejuk boleh juga mencetuskan serangan).

Sama seperti jenis-jenis alergi lain, pemicunya merangsangkan antibodi IgE untuk mengeluarkan histamina dan lain-lain bahan pengantara kimia. Kimia-kimia yang dikeluarkan oleh antibodi mengembungkan lapisan paru-paru dan mengetatkan otot-otot saluran udara, dan ianya juga mula mengeluarkan mukus.

Apakah faktor-faktor risiko asma?

Bayi yang tinggal dengan ibu atau bapa yang merokok lebih berkemungkinan berdehit-dehit jika dibandingkan dengan bayi yang tinggal dalam rumah yang tidak mengandungi asap rokok.

Genetik juga memainkan peranan. Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa yang menghidap asma lazim mewarisi kecenderungan untuk mendapat asma, dan penyakit itu akan berkembang dengan lebih cepat bagi kanak-kanak ini daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai asma dalam keluarga.

Bermastautin di bandar besar di samping keadaan perumahan yang tidak sempurna juga membuatkan bayi dan kanak-kanak lebih mudah diserang penyakit itu.

Saya dengar bahawa asma semakin meningkat. Kenapa begitu?

Asma semakin meningkat. Pengindustrian, rumah bercirikan cekap tenaga dan pembasmian kebanyakan penyakit kanak-kanak, seperti campak dan beguk, mungkin boleh disalahkan juga.

Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, asma tidak merupakan masalah besar dalam masyarakat pra-industri. Tetapi, apabila kemajuan tiba, asma akan menyusul.

Kita lebih banyak menghabiskan masa terkurung dalam rumah-rumah cekap tenaga.
Udara dalam rumah dipenuhi alergen, seperti kutu habuk atau bulu haiwan kesayangan.
Jika kanak-kanak banyak menghabiskan masa di depan TV atau komputer, mereka akan kurang berada dalam udara bersih di luar. Semua ini nampaknya telah mengakibatkan peningkatan asma.

Sistem imun, yang sentiasa berfungsi, yang dahulunya giat mempertahankan badan dari diserang cacar air dan rubela, sekarang tidak mempunyai banyak kerja selain menentang serangan kutu habuk, iaitu haiwan perosak yang amat halus yang kehadirannya dikaitkan dengan asma.

Mungkin juga sistem imun bertindak balas terhadap sesuatu alergen itu dengan terlalu giat (seperti memadamkan mancis dengan hos air), yang juga mungkin menyumbang kepada asma juga.

Bolehkah asma dipulihkan sama sekali?

Asma ialah penyakit berlarutan (kronik), dan setakat yang diketahui tiada ubat yang boleh menyembuhkannya. Namun begitu, asma boleh dikawal dengan ubat-ubatan, dan dengan mengurangkan juga pendedahan kepada pemicu tertentu seberapa yang boleh.

Jika anak anda menghidap asma, ini tidak seharusnya menghalang dia daripada menjalankan senaman dan mengikuti gaya hidup yang sihat dan aktif. Ramai kanak-kanak akan pulih daripada asma setelah membesar, atau penyakit itu menjadi semakin kurang teruk apabila mereka lebih tua. Kerjalah bersama doktor anda untuk mendapatkan rawatan dan cara mengawal asma yang paling baik bagi anak anda.

Kredit: http://www.babycenter.com.my

Google Tag Search Result: