Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Dilema Ibu Bapa, Nak Guna Lampin Pakai Buang (Disposable Diapers) Atau Lampin Kain (Cloth Diapers)?

Apabila lampin menjadi dilema buat ibu bapa yang inginkan yang terbaik buat bayi dan juga poket ibu bapa, beberapa perkara harus dipertimbangkan termasuklah kos dan alam sekitar. Jadi yang mana yang terbaik: lampin pakai buang atau lampin kain?

Untuk membantu anda membuat keputusan, beberapa isu boleh dipertimbangkan:

1) Kesihatan bayi

Terdapat banyak sumber yang mengatakan lampin pakai buang mengandungi bahan kimia dan toksin yang berkait rapat dengan pelbagai masalah seperti asma dan kanser. Walaubagaimanapun, tiada fakta saintifik yang membuktikan kenyataan tersebut. Kebanyakan lampin pakai buang mengandungi gel penyerap, sodium polycrylate atau SAP yang terletak di bahagian dalam lampin dan tidak akan menyentuh kulit bayi. Bahan tersebut telah diuji dan dibuktikan selamat oleh American Academy of Pediatrics Healthy. Terdapat beberapa jenama lampin pakai buang yang membebaskan gas-gas yang menyebabkan simptom seperti asma pada tikus, tetapi tiada kesan yang sama terhadap bayi. Beberapa jenis lampin pakai buang juga dikatakan mengandungi dioksin yang dikaitkan dengan kanser dan masalah pembiakan tetapi kuantitinya amat sedikit dan tidak mendatangkan kesan buruk. Lampin kain juga didapati mengandungi dioksin dalam kuantiti yang sedikit.

Kesimpulan: Siasat dahulu tentang bahan yang terkandung dalam lampin pakai buang atau lampin kain yang terdapat di pasaran dengan menghubungi syarikat yang mengeluarkan produk tersebut. Pastikan bahan yang digunakan selamat buat bayi anda.

2) Kesan terhadap alam sekitar

Ramai yang mengatakan lampin kain lebih mesra alam kerana ia digunakan semula. Walau bagaimana pun, jika dipertimbangkan “kitaran hidup” lampin kain, ianya mungkin mengakibatkan lebih banyak kesan buruk terhadap alam sekitar berbanding lampin pakain buang. Kenapa? Lampin kain melibatkan penggunaan tenaga elektrik dan air yang banyak semasa proses penyucian. Lampin pakai buang pula boleh menyebabkan pencemaran air atau udara dan mendatangkan penyakit.

Kesimpulan: Guna mesin basuh yang menggunakan tenaga elektrik minimum dan gunakan sabun basuh yang mesra alam semasa mencuci lampin kain. Bagi yang menggunakan lampin pakai buang, buang dahulu najis ke dalam tandas bagi mengelakkan pencemaran air dan udara.

3) Yang mana yang lebih mudah?

Sudah tentu jawapannya adalah lampin pakai buang. Penciptaaan lampin pakai buang memudahkan ibu bapa yang sibuk atau yang ingin mengelakkan faktor “geli” terhadap najis. Lampin pakai buang juga lebih sesuai digunakan semasa perjalanan jarak jauh atau semasa bercuti.

Kesimpulan: Sememangnya lampin pakai buang lebih mudah dari lampin kain.

4) Kos

Tidak dinafikan lampin pakai buang lebih mudah, tetapi ia juga membabitkan kos yang jauh lebih tinggi dari lampin kain. Secara purata, 6 lampin diperlukan dalam sehari dan lebih 3000 lampin digunakan sepanjang tahun pertama bayi tersebut. Bayangkan jika anak anda memakai lampin sehingga 4 atau 5 tahun, anda menghabiskan ribuan ringgit (anggaran purata: RM 1000-4000 setahun) untuk lampin pakai buang. Bergantung kepada jenama dan jenis, lampin kain dan aksesorinya (plastik, CD) pula dianggarkan hanya RM 500-1200 sahaja sepanjang anak anda memakai lampin. Mungkin beberapa ratus lagi diperlukan untuk kos elektrik, air dan sabun untuk mencuci lampin kain.

Kesimpulan: Lampin kain lebih menjimatkan kos.

5) Ruam lampin

Kandungan dalam lampin pakai buang seperti bahan kimia, losyen atau bahan wangian boleh meningkatkan sensitiviti terhadap ruam berbanding lampin kain. Walau bagaimanapun, lampin pakai buang lebih menyerap lembapan dan bayi anda akan lebih kering. Maka, risiko terhadap ruam juga berkurangan. Menariknya, kajian menunjukkan reaksi bayi terhadap lampin kain atau lampin pakain buang adalah berbeza-beza. Sesetengah bayi kurang risiko ruam lampin apabila memakai lampin kain atau pun sebaliknya. Untuk jalan penyelesaian mudah, pastikan anda menyalin lampin secepat mungkin selepas anak anda membuang air kecil atau besar kerana pendedahan kulit terhadap najis dan air kencing akan meningkatkan risiko ruam lampin.

Kesimpulan: Jika anak anda mempunyai ruam lampin yang teruk, pertimbangkan menukar jenis lampin yang dipakai sama ada lampin kain atau lampin pakai buang. Jangan lupa untuk mendapatkan nasihat doktor kerana mungkin terdapat juga fator lain yang memainkan peranan dalam ruam yang dialami.

6) Keupayaan untuk mengelakkan kebocoran

Dengan adanya getah elastik, bahan kalis air dan gel penyerap lembapan yang efisien, lampin pakai buang sememangnya dapat mengelakkan kebocoran. Walaubagaimanapun, lampin kain dan aksesorinya juga telah mengalami revolusi dengan ciri-ciri baru yang dapat mengelakkan kebocoran.

Kesimpulannya: Lampin pakai lebih berupaya mengelakkan kebocoran, tetapi lampin kain boleh mengelakkan kebocoran selagi lampin dipakaikan dengan ketat sedikit dikeliling kaki dan aksesori yang digunakan berupaya menghalang kebocoran.

Sebagai rumusan, lampin yang terbaik adalah yang mana yang sesuai bagi anak dan keluarga anda. Jadi, sebelum membuat keputusan, cuba uji dahulu pilihan yang ada untuk melihat sejauh mana ia menepati gaya hidup dan yang lebih penting, mempengaruhi kesihatan anak anda. Anda mungkin juga akan mendapati kedua-dua jenis lampin sesuai untuk anda, bergantung kepada situasi. Contohnya, lampin pakai buang digunakan semasa berjalan-jalan dan lampin kain digunakan di rumah. Apa-apa pun, tanpa anda sedari, bayi anda yang memakai lampin akan membesar dengan cepat dan tidak lagi memerlukan lampin lagi.

Lampin Kain (Cloth Diapers)

Lampin Kain (Cloth Diapers)

Google Tag Search Result: