KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta golongan bapa supaya melakukan transformasi peranan masing-masing dalam membentuk sebuah keluarga bagi melahir generasi rakyat Malaysia yang terbaik pada masa depan.
Dalam coretan ringkasnya di lawan web sosial facebook.com, beliau berkata adalah diharapkan semua bapa dapat terus membina generasi negara pada masa depan dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan untuk menjadi ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih cemerlang.
“Hari ini, semakin ramai golongan bapa yang mengimbangkan peranan profesional dan keibubapaan mereka. Bagi saya sendiri, saya merasakan sudah melakukan yang terbaik untuk anak-anak saya.
“Kepada semua bapa, teruskan berusaha membina masa depan keluarga kita dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan dalam melahirkan ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Najib turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi najib@1malaysia.com.my kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Bapa, dengan harapan supaya rakyat negara ini bersama-sama menyambut Hari Bapa bersama ayahanda masing-masing.
“Marilah kita menyambut Hari Bapa bersama ayahanda tersayang. Ikhlas dari Najib Razak dan keluarga,” menurut teks SMS berkenaan. -bharian








