Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Ketahui Teknik Bantuan Pernafasan (CPR), Bayi Mungkin Dapat Diselamatkan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan pengusaha pusat asuhan bayi dan kanak-kanak memastikan kakitangan mereka meningkatkan kemahiran mengenai teknik bantuan pernafasan (CPR).

Serentak itu, beliau meminta badan bukan kerajaan (NGO) wanita mengadakan lebih banyak kursus CPR kerana kemahiran sedemikian penting bagi membantu menyelamatkan bayi terutama apabila mereka tersedak susu termasuk objek keras seperti guli.

“Selain teknik CPR, ibu bapa juga perlu memberi perhatian terhadap masalah kesihatan seperti demam panas yang boleh mengundang kepada kecacatan kepada bayi.

“Saya dapati banyak kes kecacatan berlaku disebabkan demam panas berlarutan dan ibu bapa gagal memberi pertolongan cemas peringkat awal sebelum mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika merasmikan majlis ramah mesra bersama Badan Amal Wanita Negeri Pahang (TERATAI) di Dewan 12 Melayu, Markas 4 Briged (MEKANISE) Kem Batu 10, di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua TERATAI, Datin Seri Junaini Kasim dan isteri Panglima Markas 4 Briged (MEKANISE), Datin Zainuriah Mustafa.

Lebih 800 ahli daripada 21 NGO wanita seluruh Pahang termasuk TERATAI, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), Persatuan Keluarga Polis ( PERKEP) Kontinjen Pahang, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Pahang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Beliau mengulas kematian dua bayi lelaki, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan, ketika dalam jagaan sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang, Selangor, kira-kira jam 1 petang, Khamis lalu.

Terdahulu, Rosmah meluangkan masa lebih sejam melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, termasuk beramah mesra dengan kanak-kanak istimewa yang belajar di situ.

One Response

Leave a Reply