Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Kes Dera Dan Kematian Bayi 20 Bulan, Bapa Direman Bantu Siasatan Polis

Melaka Tengah: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kematian bayinya berusia 20 bulan yang disyaki didera di Taman Bukit Katil Permai, Bukit Katil di sini, Khamis lalu.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan jam 4 petang Ahad lalu selepas bedah siasat ke atas mayat Nur Auni Darmya mendapati mangsa didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata bedah siasat mendapati ada kesan bengkak di kepala mangsa, dipercayai akibat dihentak dengan objek tumpul serta kesan kecederaan di badan.

“Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Khamis lalu, mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka selepas tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital jam 5.45 petang. Mangsa yang juga anak sulung, mempunyai seorang adik kembar perempuan.

Raja Shahrom berkata, siasatan ke atas ibu mangsa yang berusia 28 tahun dan tidak bekerja akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali, berkata dia mengenali pasangan suami isteri berkenaan sejak mereka berpindah dan menyewa di situ dua tahun lalu.

“Saya jarang berjumpa atau bertegur dengan bapa mangsa kerana dia sibuk bekerja dan sering pulang lewat.

Dia dilihat seperti seorang yang baik dan tidak banyak bercakap dan sangat rapat dengan mangsa,” katanya.

Difahamkan, sebelum ini mangsa dijaga oleh neneknya di kampung sejak setahun lalu sebelum dibawa ke sini, manakala kembarnya dijaga pasangan itu. – Berita Harian