Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Jagalah Emosi Ibu Hamil

Ibu Hamil Cantik

Masa paling kritikal untuk diri seseorang itu bukanlah setelah dia lahir, tetapi sebelum dia lahir lagi. Semasa di dalam kandungan adalah masa yang sangat kritikal dalam membentuk sistem kepercayaan diri yang tegar.

Kepercayaan diri yang mendalam, positif atau negatif terbentuk sejak seseorang itu masih dalam rahim ibunya melalui apa yang si ibu itu lalui semasa dia mengandung.

Oleh itu seorang ibu yang mengandung disarankan menjaga emosi diri dan orang-orang yang di sekelilingnya perlu membantu seorang ibu itu supaya dia berasa dikasihi dan dihargai.

Pentingnya seorang ibu itu mengawal emosinya dan bantuan orang di sekelilingnya juga penting.

Apabila si ibu yang mengandung melalui renjatan emosi, ia boleh memberi kesan buruk kepada anak yang di dalam kandungan, terutamanya dari segi kestabilan emosi anak itu apabila lahir dan membesar nanti.

Tidak ada yang lebih menggembirakan dan menenangkan hati seorang ibu yang mengandung selain daripada dilayan penuh mesra dan hormat oleh suami yang tercinta.

Oleh itu para suami, jagalah perasaan isteri terutama semasa mengandung. Anda telah mengahwininya dan mengambilnya dari sebuah keluarga yang sayang kepadanya.

Ibu dan bapanya menyayangi dia dan mengamanahkan anda untuk menjaga dia. Maka jagalah diri fizikal, mental, emosi dan jiwanya. Anda akan bahagia di dunia dan di akhirat.

Memang ramai ibu yang mengandung banyak ragamnya, tetapi tidak perlulah diturut semua kerana yang penting ialah melayan emosinya dengan baik.

Ramai ibu muda menjadi tidak keruan apabila mula-mula mengandung. Banyak perasaan yang dirasai sangat berbeza. Adakalanya para ibu mengandung merasakan bahawa badannya dikuasai oleh orang lain.

Ini semua berlaku kesan daripada perubahan hormon yang sedang berlaku dalam diri seorang ibu yang baru mengandung itu.

Maka seorang suami yang pengasih dan prihatin akan mengambil kira semua ini dan tidaklah asyik mementingkan diri.

Malangnya, ada juga segelintir para suami yang tidak bijak, tidak bertanggungjawab dan tiada belas ihsan lalu menyakitkan isteri secara fizikal, mental dan emosi.

Apabila orang terdekat menjadi punca hati hiba dan air mata mencurah semasa mengandung, apakah cara yang boleh dilakukan untuk janin tidak menjadi negatif sikapnya terhadap dunia?

Bagi isteri yang dikasari, kuatkan jiwa dan hati anda. Apakah yang anda boleh lakukan:

  1. Berdoa supaya Allah terus menjaga anak di dalam kandungan dan terlindung daripada renjatan emosi yang terjadi hasil tekanan emosi yang mungkin sedang anda lalui.
  2. Bercakaplah perkara positif kepada anak itu. Katakan betapa anda mengasihi dia dan ajak dia memaafkan ayahnya.
  3. Anda juga perlu berusaha memaafkan suami anda atas keburukan tingkah-lakunya.
  4. Banyak bersolat hajat dan membaca al-Quran. Supaya hati dan jiwa menjadi tenang. Endorphin akan dirembeskan ke dalam badan apabila kita banyak membaca al-Quran dan bersolat. Endorphin memberikan tenaga positif kepada kita dan kandungan kita. Oleh itu, ia akan meningkatkan getaran tenaga kita dan menghindarkan kesan negatif daripada orang yang negatif. Insya-Allah.
  5. Setiap hari apabila berdoa dan selepas berdoa, ambil masa menggambarkan akan aman dan indahnya rumah tangga anda. Gambarkan di minda dan rasakan dengan kuat di hati betapa suami anda sangat menghargai dan melayan anda dengan baik dan kasih sayang anda berdua bertambah menebal. Gambarkan yang baik-baik. Allah mengikut sangkaan hambanya. Jika diizin-Nya, doa anda dan gambaran ini akan menjadi kenyataan. Tidak mustahil, kerana Dialah yang memegang hati hamba-Nya.

Bagi para isteri yang mempunyai suami yang prihatin, ucapankan kata-kata penghargaan, hantarlah mesej terima kasih kepada mereka.

Hargai kebaikan mereka supaya mereka tahu itu adalah cara yang disukai.

Kredit : http://www.utusan.com.my