Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Cegah ‘Pembunuh Senyap’ Dengan Berjalan Kaki

BENTONG: Orang ramai perlu menjadikan senaman berjalan kaki sebahagian gaya hidup sihat yang bukan saja dapat memantapkan kesihatan, tetapi mampu mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang juga pembunuh senyap.

Malah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, amalan berjalan kaki sejauh enam kilometer sehari mampu mengurangkan masalah kesihatan seperti obesiti dan tekanan.

Katanya, statistik pada 2006 menunjukkan sebanyak 14. 2 peratus masyarakat negara ini adalah obes dan 29.1 peratus berusia 18 ke atas mengalami masalah berat badan yang menjadi punca NCD akibat amalan gaya hidup tidak sihat.

“Masalah NCD ini seperti kencing manis, kanser, penyakit pernafasan kronik dan darah tinggi semakin meningkat setiap tahun dan ini membimbangkan kerajaan.

“Malah, kanak-kanak seawal usia 11 tahun turut mengalami obesiti. Ini adalah perkembangan yang tidak baik untuk masyarakat negara ini dan sebab itu kita mahu menjadikan setiap individu menjadikan senaman berjalan kaki ini sebagai satu budaya,” katanya berucap merasmikan Karnival 10,000 Langkah Sehari ‘MY Sihat’ di Dataran Bentong, di sini, semalam.

Seramai 5,000 peserta pelbagai peringkat umur menyertai karnival anjuran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MY Sihat) disokong Berita Harian dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Hoh Khai Mun; Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MY Sihat), Datuk Seri Aishah Ong; Ketua Pegawai Eksekutif MY Sihat, Dr Yahya Baba; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali dan Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainor Said.

Karnival itu pertama kali diadakan di Putrajaya Julai lalu. Selepas Bentong, ia akan diperluas ke Kuala Terengganu, Terengganu; Melaka; Muar, Johor; Seremban, Negeri Sembilan; Arau, Perlis; Sungai Petani, Kedah; Teluk Intan, Perak; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; Kota Bharu, Kelantan; Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Black Mentor, Mila, Awi Rafael dan Farawahida.
Aktiviti lain termasuk senamrobik, pameran dan pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna dan sukaneka.

Selain itu, Tiong Lai turut mengumumkan kejayaan Malaysia yang sekali lagi dipilih menganggotai Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Rantau Asia Pasifik bagi tempoh tiga tahun mulai 2012.

Kali terakhir Malaysia menjadi Lembaga Eksekutif WHO adalah 26 tahun lalu iaitu pada 1983 hingga 1985.

“Pemilihan pada sesi ke-62 Jawatankuasa Serantau Pasifik Barat WHO di di Manila, Filipina pada 10 hingga 14 Oktober lalu. Lembaga Eksekutif itu merangkumi 34 anggota bidang kesihatan dan hanya lima tempat diperuntukkan bagi wakil rantau Pasifik Barat.

“Selain Malaysia, Australia turut dipilih sebagai Lembaga Eksekutif WHO untuk WHO Rantau Pasifik Barat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply