Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Buang Kedua-Dua Payudara, Angelina Jolie Dijangka Hidup 3 Tahun Lagi

Selepas bimbang risiko menghidap kanser payu dara, gara-gara penemuan gen BRCA1 pada tubuhnya, bintang Lara Croft, Angelina Jolie, membuang kedua-dua payu daranya, awal tahun ini.

Namun, tidak habis di situ, tunang kepada aktor kacak, Brad Pitt, itu nampaknya terus dibelenggu kebimbangan. Kali ini dia meramalkan jangka hayatnya tidak panjang dan hanya mempunyai tempoh tiga tahun untuk hidup.

Keluarga di sebelah ibu saya semuanya pendek umur, kata pelakon itu kepada majalah Esquire tidak lama dulu.

Kenyataan itu dibuat Jolie berdasarkan sejarah kesihatan keluarga sebelah ibunya, yang rata-rata tidak hidup lama. Ibunya, Marcheline Bertrand, meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat barah rahim.

Mei lalu, dia kehilangan ibu saudara, Debbie Martin, adik perempuan bongsu mendiang ibunya, juga akibat barah. Martin meninggal dunia pada usia 61 tahun kerana barah payu dara.

Selain ibu serta ibu saudaranya, datuk, nenek dan bapa saudara Jolie juga meninggal dunia kerana kanser.

Mahu kahwini Brad Pitt

Sementara itu menurut majalah Globe pula, kerana yakin usianya tidak akan mencecah 40-an, aktres berusia 38 tahun itu difahamkan menyenaraikan secara rahsia perkara yang ingin dilakukan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Angelina mahu menikmati hari terakhir dengan sepuas-puasnya. Walaupun sudah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak kematian iaitu dengan membuang payu dara dan berhasrat membuang rahimnya pula yang dikatakan turut berisiko dijangkiti kanser, Angelina tetap berasakan umurnya tidak panjang.

Jadi, sebelum menutup mata, Angelina mahu melakukan semua perkara disukainya. Dia ada menyenaraikan perkara yang ingin dilakukan dan akan memastikan impian itu terlaksana sebelum dia mati, menurut sumber.

Turut berada dalam senarai ialah mengakhiri percintaan selama lapan tahun bersama Pitt dengan ikatan perkahwinan. Hasrat itu pernah dinyatakan pasangan ini kepada keluarga terdekat mereka, malah Jolie juga mahu kebajikan keenam-enam anak mereka, iaitu tiga anak angkat serta tiga anak hasil hubungan bersama Pitt, terpelihara dengan baik.

Jolie juga difahamkan masih menyimpan hasrat menambah bilangan zuriat. Pelakon itu dikatakan kini berura-ura mahu mengambil anak angkat dari sebuah perkampungan di Syria, Yordania, untuk mencukupkan bilangan anak kepada lapan orang.

Kembali arah filem

Jolie membuat kemunculan pertama di khalayak ramai selepas membuang payu daranya pada awal Jun lalu, di London.

Ketika itu, dia tampil anggun dengan mengenakan gaun hitam, saat menemani Pitt di permaidani merah filem World War Z. Saat itu juga Jolie berkata, dia amat berterima kasih pada lelaki terbabit yang banyak memberikan sokongan kepadanya, selain kegembiraan apabila isu kesihatan wanita kini semakin banyak diperdebatkan.

Dua minggu lalu pula dia dilihat di Sydney, Australia, bersama-sama anaknya untuk meneruskan projek filem kedua arahannya, Unbroken. Nampaknya, dia kini kembali bersedia untuk meneruskan kerja seninya.

Sumber | Gambar