Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Bersediakah Ibu-Ibu Menjelang Menopaus?

Tanda Wanita Menopause

APABILA kitaran haid yang sedang atau telah dialami oleh seseorang wanita selama kira-kira 40 tahun menjadi kurang tetap dan kemudiannya berhenti, maka berlakulah satu peringkat baru dalam kehidupan, iaitu menopaus.

Ia menandakan tamatnya keupayaan pembiakan dan putus haid. Perubahan ini berlaku secara semula jadi dalam badan wanita. Pun begitu, menopaus sering membawa pelbagai akibat, baik dari segi fizikal atau mental.

Sebahagian wanita tidak mengalami apa-apa keluhan tetapi sebahagiannya lagi akan mengalaminya dengan teruk.

Wanita menganggap menopaus sebagai satu jangka masa yang membawa impak dan perubahan besar ke atas hidup mereka. Sementara para doktor pula menganggap menopaus sebagai suatu fenomena perubatan.

”Menopaus merupakan kebimbangan kepada semua wanita kerana ia bukan tahap hidup yang selesa bagi mereka. Menjelang masa ini, wanita mula nampak lebih tua dan peranan mereka di rumah serta di kalangan masyarakat akan berubah.

”Perasaan tidak selesa yang berpunca daripada gejala menopaus akan merumitkan keadaan. Bagaimanapun situasi wanita masa kini berbeza kerana mereka memain peranan aktif dalam masyarakat, berkerjaya, lebih mengambil berat terhadap kesihatan dan dapat menangani gejala menopaus dengan baik.

”Sebaiknya wanita memahami menopaus bahawa ia suatu fasa normal dalam kehidupan. Ia merupakan proses semula jadi penurunan fungsi ovari dalam penghasilan hormon estrogen dan progestogen,” demikian kata pakar ginekologi Hospital Pusrawi, Dr. Asmah Yun Mat Sidek kepada peserta yang menghadiri ceramah kesihatan percuma di hospital tersebut, baru-baru ini.

Menurut Dr. Asmah lagi, sejak lahir, seseorang itu mempunyai sebanyak satu juta sel ovari. Dari mula didatangi haid sehingga menopaus, banyak sel ovari berkurangan. Menopaus berlaku kerana tiada lagi stok sel di dalam sel-sel ovari tersebut.

”Purata umur wanita yang menopaus adalah 50 tahun namun ia juga boleh terjadi di antara umur 45 hingga 55 tahun. Ini bergantung pada sel ovari yang ada pada seseorang.

”Ada wanita yang menopaus sebelum berumur 40 tahun. Ini dinamakan menopaus pra matang. Hanya satu peratus wanita yang mendapat menopaus pra matang. Mungkin ini disebabkan oleh pembedahan yang disebabkan kanser rahim dan sebagainya di mana doktor terpaksa membuang sistem peranakan,” jelas Dr. Asmah.

Beliau berkata, wanita yang mengalami menopaus akan mengalami gejala-gejala seperti serangan kepanasan dan berpeluh pada waktu malam yang berlaku di antara tiga hingga enam minit, sakit belakang, sendi dan tulang kerana kepadatan jisim tulang yang berkurangan, kekeringan faraj atau keperitan semasa hubungan seks dan kemungkinan dijangkiti infeksi dan saluran kencing meningkat.

Tanda-Tanda Menopaus

Tambahnya, selain itu, mereka juga mungkin menghadapi masalah gangguan tidur, rasa sejuk dan kekejangan pada tangan dan kaki, kesakitan sendi dan otot, sakit kepala, pening, sesak nafas dan jantung berdebar-debar.

Sesetengah wanita pula, kata beliau, tidak dapat menumpukan perhatian dan mudah menangis atau berkelakuan tidak menentu. Keluhan lain yang jarang berlaku tetapi amat mengganggu adalah gangguan mental seperti keletihan, perubahan emosi mendadak, kerisauan tanpa sebab, kebimbangan dan kemurungan.

”Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan menjelang tahun 2030, sebanyak 1.2 bilion wanita mengalami menopaus semasa berumur 50 tahun. Justeru wanita harus mempunyai sikap positif menghadapi menopaus kerana ia bukan bererti penghujung kehidupan.

”Menopaus bermakna seseorang wanita itu telah menjalani dua pertiga kehidupan dari usia masing-masing dan tinggal satu pertiga lagi bagi diisi dengan aktiviti yang tidak dapat dilakukan dahulu umpamanya melakukan ibadat dan sebagainya,” ujar Dr. Asmah lagi.

Beliau menegaskan terdapat banyak rawatan bagi menangani gejala menopaus seperti memakan makanan yang berkhasiat, elakkan merokok atau minuman alkohol, selalu bersenam, bersikap positif terhadap kehidupan, kurangkan stres, dapatkan sokongan pasangan atau komuniti dan lakukan pemeriksaan kesihatan.

”Selain itu, wanita boleh mengambil hormon gantian bagi menggantikan hormon estrogen yang berkurangan di dalam badan wanita.

”Semasa menopaus, badan tidak berupaya menghasilkan hormon estrogen seperti dulu. Paras estrogen mula menurun dan penghasilan estrogen tidak tetap seperti dulu. Penurunan paras estrogen menyebabkan perasaan tidak selesa serta gejala-gejala fizikal dan mental.

”Jangan malu hendak memulakan rawatan hormon gantian. Bagaimanapun sebelum mengambilnya, dapatkan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui hormon yang bersesuaian dengan seseorang individu.

”Mereka yang berminat mengambil pil hormon ini perlu melakukan pemeriksaan berkala, lihat kesan sampingan seperti perubahan pada payu dara (kejang, bengkak), pening, loya dan perdarahan faraj.

”Wanita yang mengalami menopaus juga amat digalakkan menjaga nutrisi dan mengambil pil kalsium 1000 – 1,200 mg, vitamin D, E, magnesium, omega 3, makan banyak soya, brokoli, kobis dan tomato,” katanya mengakhiri ceramah

Google Tag Search Result: