Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Berita Bayi Diculik Di Depan Ibu

Gambar Bayi Diculik

Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki warga Britain, berusia 18 bulan diculik dari halaman rumahnya oleh dua individu tidak dikenali di Jalan Terasek, Bangsar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, ibu mangsa cedera ringan selepas terjatuh di jalan raya apabila ditolak ketika cuba menghalang dua suspek terbabit.

Berlaku di halaman rumah

Insiden itu berlaku apabila ibu mangsa masuk ke dalam rumah buat seketika dan meninggalkan bayi itu keseorangan. Sebaik keluar semula, ibu itu melihat seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang dilaporkan memakai tudung penutup muka, mendukung dan melarikan anaknya.

Dia cuba mengambil kembali anaknya tetapi suspek lelaki bertindak melibas pisau ke arah ibu mangsa, sebelum suspek wanita membawa bayi itu masuk ke dalam kereta yang diletakkan di depan rumah.

Kereta Toyota Camry putih

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ibu mangsa kemudian bertindak mengejar suspek bagi mendapatkan semula anaknya, tetapi suspek dilaporkan menolaknya sebelum masuk ke dalam kereta dan memecut kereta Toyota Camry berwarna putih.
Katanya, siasatan awal polis mendapati ibu mangsa dipercayai mengenali suspek dan kes itu dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah keluarga.

“Setakat ini belum ada sebarang tebusan diminta oleh suspek dan kes diklasifikasikan sebagai culik. Mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik, suspek berhadapan dengan hukuman gantung.

“Setakat ini petunjuk yang diperoleh adalah berdasarkan keterangan dan laporan oleh ibu bayi malang itu,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Katanya, setakat ini JSJ Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, sedang menjalankan gerakan secara besar-besaran bagi mengesan suspek yang dilaporkan menaiki kenderaan menggunakan nombor pendaftaran BKP 4386.

Guna plat palsu

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat daripada orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran dan melihat kelibat suspek,” katanya.

Beliau meminta bantuan orang ramai yang kemungkinan menyaksikan insiden itu, supaya tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi ‘Rakan Cop Polis KL’ di talian 03-21159999.

Sementara itu, seorang kenalan ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai John berkata, rakan wanitanya yang bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah swasta di Taman Tun Dr Ismail, di sini, tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.

“Dia kini berada dalam keadaan trauma berikutan kejadian yang menimpanya itu dan sangat merindui anaknya.

Selepas berpisah dengan pasangannya warga Filipina, dia mengambil keputusan berpindah ke kawasan ini,” katanya.

Tinjauan di hadapan rumah mangsa malam tadi mendapati, ibu itu memeluk erat anak patung kegemaran anaknya.

Sepasukan polis dari Unit Forensik Kuala Lumpur juga dilihat sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian termasuk berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman jiran berhampiran.

 

Sumber | Gambar