Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Pergi Bercuti Ketika Mengandung

Bercuti Ketika Hamil

Adakah percutian saya selamat?

Umumnya, sekiranya kehamilan anda normal tidak ada apa yang perlu anda risaukan. Namun, anda dinasihatkan untuk merancang percutian yang lebih fleksibel. Jika anda hanya melancong di dalam negara, tidak banyak masalah atau perkara yang perlu dititikberatkan. Tetapi, jika anda berhasrat untuk melancong ke luar negara, lebih banyak perkara yang perlu diambil kira.
Walau di manapun destinasi percutian anda, anda digalakkan untuk membuat sedikit kajian tentang tempat tersebut untuk menentukan kesesuaiannya dengan keadaan anda yang hamil. Pastikan anda juga mengetahui kemudahan perubatan yang terdapat di sana dan jaraknya dari tempat percutian anda.
Bagi kebanyakan wanita, kehamilan mereka adalah paling stabil dan sihat pada sekitar trimester kedua. Oleh itu, seelok-eloknya rancanglah percutian anda pada waktu tersebut.

Tip-tip penting untuk percutian

Sebelum bercuti:
  • Bertanya doktor – Sungguhpun anda merasakan bahawa rancangan percutian anda selamat, tidak ada salahnya jika anda bertanyakan kepada doktor anda terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian. Mungkin doktor anda mempunyai beberapa pesanan khas memandangkan beliau lebih arif tentang keadaan kesihatan anda.
  • Bawa rekod lawatan antenatal anda – Pastikan anda membawa buku rekod lawatan antenatal supaya sebarang kes kecemasan dapat dipermudahkan. Sebaiknya buku rekod ini harus dibawa ke mana-mana sahaja anda pergi.
  • Pengambilan vaksin – Beberapa destinasi percutian di luar negara akan memerlukan anda untuk mengambil vaksin atau imunisasi yang kadangkala boleh memudaratkan kandungan. Oleh itu, cuba elakkan destinasi percutian sebegini untuk lebih selamat.
  • Periksa polisi insurans anda – Anda lebih beruntung jika insurans anda melindungi sebarang kes yang melibatkan kesihatan kehamilan anda dan kelahiran bayi semasa berada di destinasi percutian anda.
  • Periksa polisi syarikat penerbangan jika menaiki pesawat – Bergantung kepada usia kehamilan anda, periksalah polisi syarikat penerbangan sekiranya mereka membenarkan wanita hamil untuk menaiki pesawat mereka. Biasanya anda tidak digalakkan untuk menaiki pesawat setelah usia kehamilan anda menginjak 36 minggu.

 

Semasa dalam perjalanan:
  • Sekiranya menaiki pesawat – Cuba dapatkan tempat duduk yang lebih besar dan selesa supaya perjalanan anda lebih lancar. Sekiranya perjalanan anda mengambil masa yang agak lama, cuba bergerak atau berjalan-jalan untuk mengelakkan lenguh, kekejangan, atau sakit belakang. Semasa menempah tiket, mungkin anda ingin mendapatkan tempat duduk depan yang lebih dekat dengan tandas dan tempat duduk di bahagian laluan supaya anda lebih mudah untuk keluar dan masuk.
  • Sekiranya menaiki kereta – Dapatkan posisi yang paling selesa sepanjang perjalanan. Berhentilah dengan lebih kerap di stesen-stesen rehat dan rawat yang terdapat di lebuhraya. Lakukan sedikit regangan supaya badan anda lebih selesa.
  • Pakai tali pinggang dengan betul – Sama ada menaiki pesawat atau kereta, pastikan anda memakai tali pinggang dengan betul supaya kekal selesa sepanjang perjalanan. Satu tali melintasi antara kedua belah payudara manakala satu lagi tali yang melintang ditempatkan di bawah perut anda – bukan di atas perut.
  • Bawa bekalan makanan  dan minuman – Keletihan dan rasa pening atau loya adalah simptom kehamilan yang paling biasa dialami sepanjang perjalanan. Oleh itu, bawalah makanan atau snek sihat yang memberi tenaga seperti buah-buahan, kekacang, coklat, roti dan biskut penuh serat. Jangan lupa membawa sebotol air kosong ke mana-mana anda pergi untuk mengelak daripada dehidrasi.
  • Bawa bantal kecil kegemaran anda – Jika anda mengalami sakit belakang, gunakan bantal kecil tersebut atau cuba letakkan baju atau tuala yang digulung di belakang pinggang anda.
Setelah sampai ke destinasi percutian:
  • Berilah masa untuk berehat buat beberapa ketika sebelum keluar bersiar-siar – Jangan terburu-buru kerana rehat adalah sangat penting bagi wanita hamil. Ia juga akan menaikkan kembali mood anda.
  • Gunakan pakaian yang sesuai – Pastikan anda mengenakan pakaian dan seluar yang sesuai semasa keluar berjalan-jalan. Kasut atau sandal yang digunakan juga perlu bersesuaian dengan keadaan anda yang sedang hamil. Elakkan menggunakan kasut tumit tinggi.
  • Nikmati percutian anda – Atasi segalanya, jangan fikirkan tugas di pejabat, masalah peribadi atau apa-apa yang mengganggu fikiran anda. Relaks dan nikmati percutian dengan sepuasnya.
Kredit | Gambar

Google Tag Search Result: