Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Bayi Mati, Bapa Kandung Ditahan

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Bedah siasat ke atas mayat bayi perempuan yang cuba ditanam di belakang rumah ibu bapanya di kawasan setinggan di Jinjang Utara semalam mendapati bayi itu mati akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata hasil siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3 Feb lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya pada lima hari lalu dan dipercayai tidak sihat.

“Bedah siasat yang dilakukan pada tengah hari tadi mengesahkan kematian bayi tersebut adalah kerana hentakan benda tumpul di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bapa kepada bayi malang itu mendakwa anaknya mati akibat tercekik susu ketika isterinya keluar bekerja dan apabila isterinya pulang, dia menanam bayi tersebut kerana takut disoal siasat polis.

Katanya, curiga dengan keterangan bapa bayi tersebut, polis bertindak menahan lelaki berusia 38 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk siasatan lanjut.

“Kita juga telah mengambil keterangan isterinya yang bekerja sebagai pelukis inai di Jalan Masjid India tetapi wanita berusia 29 tahun itu tidak ditahan,” katanya.

Zakaria berkata terdapat kesan pasir dan tanah pada mayat bayi tersebut dan polis percaya mayat bayi malang itu telah ditanam tetapi kemudiannya dikeluarkan semula.

Katanya, mayat bayi perempuan tersebut dibalut dengan kain dan berada di dalam beg plastik ketika dijumpai.

Semalam kira-kira-kira pukul 6 petang, polis bergegas ke rumah tersebut selepas mendapat maklumat dari orang awam yang berasa curiga apabila terlihat sebuah lubang di belakang rumah pasangan terbabit sebelum menemui mayat bayi
berkenaan.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Leave a Reply