Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Awas Dengan Perangkap Cinta Siber

cinta siber

Elak niat cari cinta sejati jadi tragedi.

Impak kewujudan internet bersifat positif dan negatif. Ada yang sanggup melekat di depan komputer melayari internet untuk pelbagai tujuan, termasuk mencari teman penghilang kesunyian.

Pasangan bercinta melalui alam maya bukan luar biasa. Ramai bernasib baik, bertemu jodoh dan tidak kurang juga yang ditipu apabila rakan alam maya yang dikira insan baik, rupa-rupanya tidak jujur. Tidak mustahil, sama ada perempuan mahupun lelaki terpedaya dengan ayat cinta di alam maya.

Mungkin ada berpendapat soal cinta hak peribadi. Wanita juga seharusnya bijak membezakan yang mana permata atau racun, sebelum hanyut dibuai cinta. Sebelum memberikan komitmen, waspada supaya tidak terjerumus dalam jerat cinta internet yang tidak diketahui identiti sebenar lelaki berkenaan.

Memang seronok, apabila ‘kekasih siber’ menaburkan janji manis dan bawa ke sana-sini, apatah lagi tiada yang melarang. Tetapi, apabila cinta menjadi perangkap, ia bukan setakat meracun hati dan perasaan, sebaliknya turut menyebabkan kehilangan wang, maruah dan harga diri.

Ketika itu, terbuktilah cinta itu bukan buta, sebaliknya mereka yang terjebak sudah buta hati.

Hakikatnya, apabila memperkatakan cinta di alam maya, masih ramai menganggap perkara ini negatif sepenuhnya. Sebenarnya, pada zaman serba canggih dan moden ini, ia bukanlah lagi perkara skeptikal atau memalukan jika anda mampu bertemu jodoh di dalam talian.
Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Fatanah Mohamed, berkata dalam hal ini ia bergantung kepada situasi dan keinginan diri.

Jelasnya, terdapat dua versi pandangan boleh dinilai tindakan itu dan ia bergantung sepenuhnya kepada individu terbabit dalam pencarian jodoh di talian atau alam maya.

“Bercinta secara dalam talian dijadikan kelebihan buat wanita yang tidak berani berdepan dengan kenyataan. Mereka yang pemalu mungkin lebih yakin untuk berkenalan secara maya dan mampu meluahkan perasaan sebenar tanpa perlu bersemuka.

“Juga, tidak dinafikan ramai wanita tempatan sudah ‘berusia’ bertemu jodoh melalui internet bahkan ada juga yang meninggalkan tanah air untuk berhijrah mengikuti suami di negara lain.

“Walau begitu, nasihat saya anda perlu berhati-hati dalam hal ini kerana khuatir ada di kalangan pengguna tidak bertanggung jawab dan berniat negatif berbanding mencari cinta sejati,” jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Relevan cinta alam maya

Jika ditanya sama ada cinta di alam maya itu relevan atau sebaliknya menawarkan risiko, katanya bercinta secara tradisional lebih rasional.

Dr Fatanah berpendapat, untuk meneruskan hubungan secara serius adalah seeloknya jika ia dilakukan secara bersua muka dan realitinya pasangan mampu melihat dengan mata sendiri siapa sedang mereka cintai dan bukannya semata-mata membayangkan atau berangan-angan saja.

“Bagaimanapun, seiring perkembangan dunia teknologi masa kini, pencarian jodoh dalam talian bukan lagi perkara yang perlu dipertikaikan dan amalan ini sudah pun berlaku di negara barat lama dulu. Bahkan, ada juga agensi yang menawarkan perkhidmatan itu.

“Bercinta di alam maya lebih mudah, masa tidak terhad, boleh berhubung pada bila-bila masa serta menjimatkan. Anda tidak perlu keluar mencari jodoh di mana-mana, segala-galanya berlaku di hujung jari saja.

“Kewujudan laman sosial semakin bercambah banyaknya termasuk Facebook, Twitter, Line, “chatroom” dan sebagainya sehinggakan mereka tidak perlu bersemuka untuk mengenali budi masing-masing. Senario itu juga membuatkan ramai ketagih dengan hubungan mudah ini,” jelasnya.

Kelebihan buat si pemalu

Bercinta di alam maya tidak semuanya buruk. Jika sudah ditakdirkan mendapat jodoh ia memberikan kelebihan kepada individu yang mencari cinta. Ramai saja yang berjaya mengecapi kebahagiaan selepas mereka berkahwin.

Katanya, jika digunakan dengan betul, kisah cinta pasangan pastinya menjadi lebih menarik dan lebih menghargai hubungan yang terjalin terutama buat mereka mengikatkan hubungan jarak jauh.

“Cinta dikecapi menerusi alam maya memberikan kelebihan pada wanita bersikap pemalu, berusia, cepat cemas apabila bertemu dengan orang baru dikenali juga buat individu kurang berkeyakinan bersua muka.

“Menerusi laman sosial, mereka tidak perlu bersua muka apatah lagi gugup tiap kali ingin meluahkan perasaan dialami. Namun, sebaiknya pertimbangkan beberapa faktor sebelum membuat keputusan untuk menjalani hubungan cinta baik di alam maya atau secara tradisional.

“Kenali pasangan anda. Pertimbangkan agamanya, latar belakang keluarganya, pekerjaan atau kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab nafkah ke atas isteri dan keluarga,” katanya.

sumber