Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

Adakah Saya Masih Berpeluang Melahirkan Bayi Secara Normal?

SAYA berumur 30 tahun dengan ketinggian 151 sentimeter dan berat 57 kilogram. Saya melahirkan anak pertama pada 12 Oktober 2010 secara pembedahan.

Sepanjang kehamilan, saya tidak mengalami sebarang komplikasi, begitu juga janin serta tidak mengalami loya (morning sickness) langsung.

Sebelum melahirkan anak, saya terpaksa menanggung kesakitan selama lebih 16 jam dan tidak dibenarkan meneran kerana pintu rahim saya hanya terbuka tiga sentimeter namun bayi yang masih berada dalam perut sudah mengeluarkan najis.

Oleh itu, doktor terpaksa menjalankan pembedahan bagi mengelakkan bayi dan ibu terkena jangkitan kuman.

Selepas pembedahan, dua doktor berkali-kali mengingatkan saya selepas kelahiran ini, saya tidak boleh melahirkan anak secara normal lagi kerana ketika proses kelahiran anak iaitu melalui pembedahan, bahu bayi tersekat dan doktor terpaksa memotong rahim lagi dengan lebih tinggi (panjang) untuk membolehkan mereka menarik bayi keluar.

Doktor menjelaskan risiko jika melahirkan anak secara normal ialah rahim mungkin pecah sewaktu meneran. Saya bercadang mempunyai anak lebih daripada tiga orang dan setahu saya jika semua kelahiran dilakukan secara pembedahan maka bilangan maksimum anak yang boleh dilahirkan hanya tiga orang.

Selain itu, lebih lambat memulihkan semula kesihatan selepas melahirkan anak secara pembedahan berbanding normal.

Adakah benar saya langsung tiada peluang untuk melahirkan bayi secara normal?

L JAY
Kuching, Sarawak

JAWAPAN

PEMBEDAHAN Caesarean yang lazimnya dilakukan membabitkan bahagian segmen bawah otot rahim, anda mungkin pernah mendengar singkatan LSCS (lower segment Caesarean section).

Ini kerana segmen bawah lebih utuh menahan kontraksi rahim sewaktu kehamilan lebih-lebih lagi sewaktu kontraksi sakit bersalin.

Hanya dalam keadaan tertentu saja segmen atas terpaksa dipotong sewaktu pembedahan Caesarean misalnya dalam keadaan terdesak apabila doktor mengalami kesukaran untuk mengeluarkan bayi melalui belahan segmen bawah.

Anda tidak menyatakan berat lahir bayi anda. Dengan ketinggian 151 sm, berkemungkinan saiz rangka pelvis anda kecil berbanding saiz bayi anda sehingga menyebabkan kepala bayi tidak ‘turun’ lagi walaupun setelah 16 jam menanggung sakit kontraksi bersalin.

Keadaan bahu tersekat dinamakan ‘distocia bahu’, ia boleh berlaku sama ada bersalin normal ataupun secara Caesarean apabila bayi bersaiz besar berbanding bukaan kelahiran, ia hanya dikesan setelah kepala bayi dikeluarkan, tetapi bahu pula tersekat.

Doktor anda mungkin terpaksa memotong ke bahagian atas bagi mengelakkan koyakan berlaku pada potongan awal sehingga membabitkan struktur penting di kanan dan kiri potongan asal iaitu salur darah rahim. Kecederaan pada salur darah rahim boleh mengakibatkan pendarahan yang banyak.

Wanita yang sudah menjalani pembedahan Caesarean segmen atas dinasihatkan untuk bersalin secara pembedahan Caesarean saja.

Ini bagi mengelakkan parut dahulu merekah atau koyak sehingga membahayakan ibu dan kandungannya, malah koyakan itu boleh berlaku sebelum sakit kontraksi lagi. Istilah rahim pecah lebih sering digunakan dalam keadaan ini.

Anda juga perlu faham, selain itu, saiz tulang pelvis anda mungkin sebenarnya kecil dan tidak sesuai untuk bersalin secara biasa.

Bagi wanita sebegini, walaupun pernah menjalani pembedahan LSCS dan bukan pun pada segmen atas, mereka masih dinasihatkan menjalani pembedahan Caesarean saja dan mengehadkan bilangan kelahiran Caesarean kepada tiga kali.

kredit: Harian Metro

Google Tag Search Result:

Leave a Reply