Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

5 Peserta Ratu Cantik Terima Kaunseling

KUCHING: Lima peserta Ratu Cantik Borneo (MBB) diarah menjalani sesi ‘kaunseling’ di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) semalam, selepas mereka didakwa mengenakan pakaian terlalu seksi ketika pertandingan itu.

Penyertaan peserta Islam itu, Melatie Melissa, 22; Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie, 21; Adira Kamil, 23; Sharifah Nadzirah Wan Hamid, 23; dan Roszainah Suhaili, 21, dikatakan menimbulkan rasa kurang selesa kalangan umat Islam sehinggakan ada yang membuat aduan kepada JAIS. Pertemuan selama hampir dua jam itu dihadiri Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Putit Mat Zen; Pengarah JAIS, Abang Shamsudin Abang Seruji; Mufti Sarawak, Kipli Yassin serta pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIS.

Abang Shamsudin berkata, pihaknya mendapat aduan setiap hari mengenai penganjuran pertandingan itu sebelum tindakan memanggil peserta Islam terpaksa dibuat bagi memastikan mereka memahami hukum syarak.

Katanya, pihaknya tidak akan menghalang penganjur daripada meneruskan pertandingan berkenaan kerana ia turut disertai 13 lagi peserta bukan Islam, namun berharap lima peserta Islam memikirkan semula kedudukan mereka.

“Mana-mana pertandingan ratu cantik tetap haram berdasarkan hukum syarak, namun kita tidak boleh mengambil tindakan ke atas penganjur MBB dengan kesedaran harus ada di kalangan umat Islam terutamanya ibu bapa sendiri.
“Kita telah memberi penerangan secukupnya mengenai aurat wanita kepada lima peserta berkenaan dengan tindakan seperti mengarahkan mereka menarik diri tidak dibuat berdasarkan situasi umat Islam di Sarawak yang agak berbeza,” katanya.

Difahamkan, penganjuran MMB menjadi perhatian selepas ia mendapat publisiti meluas media tempatan dan pada masa sama timbul bantahan pihak tertentu yang mengatakan peserta akan memakai pakaian renang pada malam pertandingan akhirnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Adira yang berasal dari Kuching, mendakwa mereka diberi layanan baik oleh penganjur pertandingan itu, Alaric Soh, selain diminta tidak memakai pakaian yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Kebanyakan pakaian yang dipakai peserta pertandingan ini adalah pakaian biasa dengan Alaric telah memaklumkan jangan terlalu menonjolkan imej seksi, selain tiada syarat menetapkan kami perlu memakai pakaian renang,” kata lulusan bidang perakaunan itu.

Daripada 200 lebih permohonan untuk menyertai MBB, hampir 80 daripadanya adalah wanita Islam tetapi hanya lima dipilih penganjur.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply