Button Text! Submit original article and get paid. Find out More

5 Masalah Kulit Biasa Terjadi Pada Bayi

Masalah Kulit Bayi

Ruam panas

Ia berlaku apabila kulit bayi terlalu panas dalam cuaca panas dan lembap. Ia akan timbul bintik-bintik kecil kemerahan. Dalam cuaca panas, pori-pori kulit bayi boleh tertutup. Jika kulit bayi dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya ia menimbulkan bintik merah seakan jerawat. Mandikan bayi menggunakan air suam serta sejukkan kawasan kulit yang sudah terjejas dengan menggunakan tuala sejuk basah. Elakkan memakaikan bayi dengan baju yang tebal dan sentiasa pastikan bilik pada suhu sederhana.

Ruam lampin

Biasanya ruam lampin berlaku disebabkan oleh kelembapan akibat lampin yang kotor. Ruam juga boleh berlaku apabila kulit bayi tidak begitu kering selepas mandi. Kadang-kadang, bakteria atau jangkitan yis akan menyebabkan ruam lampin. Pastikan anda kerap menukar lampin setiap kali bayi buang air besar atau kecil. Cuci punggung bayi dengan menggunakan sabun tanpa bahan pewangi, tetapi gunakan sabun lembut yang bebas bahan kimia. Sapukan krim atau losen khusus yang melindungi kulit yang sedang radang. Pakaikan lampin secara longgar supaya ada ruang udara memasuki kawasan punggung bayi.

Ekzema

Ia merujuk masalah kulit yang mempunyai dermatitis iaitu kemerahan, kuping dan bengkak. Ia berlaku pada bahagian muka, tangan dan kaki dan badan. Pelipat kelopak mata, leher, siku, lutut atau pergelangan kaki mungkin terjejas dengan lebih teruk. Ekzema tidak boleh dipulihkan tetapi dikawal dengan rawatan yang sesuai. Pakaikan bayi pakaian daripada kain kapas, pastikan kuku bayi pendek untuk mengelakkan iritasi kulit akibat menggaru dan elakkan makan makanan yang mencetuskan ekzema.

Kulit kering

Ada bayi menghadapi masalah kulit kering atau bersisik. Ia biasa berlaku pada bahagian punggung atau lengan. Ia tidak berbahaya dan akan hilang apabila bayi berusia empat hingga enam bulan. Pastikan anda sentiasa lap bahagian kulit yang kering dengan kain. Bahagian yang bersisik, sapukan losen. Anda boleh juga mandikan bayi bagi menambahkan kelembapan pada kulit bayi yang kering.

Kerak kepala

Ia juga dikenali sebagai cradle cap. Ia kelihatan seperti kelemumur pada bahagian kepala bayi. Masalah ini melibatkan kepala diselaputi oleh tompok-tompok yang berminyak, kuning dan bersisik di kulit kepala. Kerap basuh rambut bayi dengan syampu bayi. Gunakan berus atau sikat rambut bayi untuk menanggalkan kepingan kerak. Boleh juga menggunakan minyak bayi atau minyak Zaitun untuk disapu pada kulit kepala bayi.Biarkan seketika dan tanggalkan kepingan tersebut. Kemudian cuci rambut bayi dengan syampu bayi.